Sedang saya memandu keluar Yishun menuju ke pejabat pagi ini, kerlingan mata saya di cermin belakang tertumpu kepada sebuah kereta Mercedes putih dengan nombor plet kereta yang lain daripada biasa. SEP 1. Betul-betul di belakang kereta saya.
Sejurus sebelum keluar ke arah CTE, saya bertukar ke lorong kiri untuk memberi laluan. Ternyata seperti yang saya sangkakan, Puan Presiden Halimah Yacob berada di dalamnya.
Kebetulan sepanjang memandu keluar Yishun itu saya sedang membaca wirid harian saya:
لا إله إلا الله وحده لا شريك له ، له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير
“Tiada tuhan melainkan Allah Yang Satu, tiada sekutu bagiNya, milikNya segala kerajaan, untukNya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu”
Maka itu, untuk hari ini, saya tujukan wirid saya itu dan pengertiannya untuk Puan Presiden, sebagai mengiringi hari pertama tugas rasmi beliau. Di sebalik sentimen dan emosi yang bercampur baur di kalangan rakyat di atas perlantikan beliau, saya bermohon kepada Allah, dengan berkat dan berwasilahkan wirid saya tadi, agar beliau dikurniakan Allah pimpinan dan kekuatan untuk menjalankan tugas beratnya dengan baik. Semoga Allah memberkati setiap langkahnya, dan semoga kita semua terus dinaungi rahmat Allah dan diredhaiNya.
Source: Fatris Bakaram