Seorang pelajar pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang dikatakan hilang sebelum kejadian kebakaran telah ditahan polis untuk membantu siasatan. Remaja tersebut dibawa ke lokasi kejadian hari ini untuk proses mengumpul bukti. Remaja yang berjaket hitam dibawa dalam keadaan tidak bergari sambil diiringi dua pegawai polis dipercayai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Pihak polis telah memeriksa petunjuk terbaru dari rakamana CCTV selain menumpukan siasatan kepada pagar di sebelah tepi dan belakang pusat tahfiz. Remaja lelaki yang dibawa ke lokasi kejadian dipercayai telah menyelinap keluar dari asrama beberapa jam sebelum kejadian kebakaran yang meragut nyawa 23 pelajar serta guru pusat tahfiz berkenaan. Sejak pagi semalam, beberapa pegawai dan anggota meninjau keadaan pagar kawat yang dipercayai boleh menjadi laluan keluar dan masuk oleh penceroboh ke dalam pusat tahfiz ini.
Pagar kawat yang memisahkan bahagian belakang pusat tahfiz didapati mempunyai kesan potong serta sudah diregangkan. “Malah, faktor pelajar cuba menyelinap keluar pada waktu malam dan awal pagi juga turut diambil kira sebagai membantu melengkapkan siasatan,” katanya. Segala bentuk siasatan kes berkenaan akan turut dirujuk berdasarkan hasil siasatan Unit Forensik Polis dan Bomba.