SETIAP kali pensyarahnya memberinya tugasan, Cik Nur Shireen Marican melaksanakannya dengan cekap dan menganggapnya sebagai satu projek profesional. “Saya menganggap segala tugasan yang diberikan bukan sebagai kerja sekolah tetapi mempersembahkannya seolah-olah pensyarah saya itu adalah majikan saya,” kata bekas pelajar Maktab Seni Lasalle ini. Ekoran dedikasi dan komitmennya itu, siswazah Pengurusan Seni ini telah dipilih sebagai penerima Anugerah Lasalle bagi Kecemerlangan Akademik.
Anugerah itu diberikan kepada pelajar terbaik setiap fakulti yang telah berjaya mengekalkan kedudukan akademik cemerlang sepanjang pendidikan mereka di Maktab Seni Lasalle. Anak bongsu dua beradik itu yang meraih Kepujian Kelas Pertama dalam Pengurusan Seni merupakan antara 852 graduan yang bakal menerima ijazah dan diploma mereka semasa Konvokesyen Maktab Seni Lasalle di Pusat Pameran dan Konvensyen Singapore Expo hari ini. Menurut Cik Shireen, yang sebelum ini merupakan bekas pelajar Maktab Rendah Tampines, pilihan melanjutkan pelajarannya dalam bidang pengurusan seni merupakan satu pilihan yang diingininya sejak dulu lagi.
“Memang kebanyakan teman saya melanjutkan pelajaran ke universiti setempat dan mengambil kursus biasa, tetapi saya sebaliknya mahu memilih pengurusan seni kerana bagi saya seni itu sesuatu yang amat organik. Tiada yang salah atau betul dalam seni. Tambahan, pengalaman yang saya raih di Lasalle memberi saya peluang agar terus mempertingkat dan membangunkan potensi saya dalam bidang ini,” ujarnya. Bekas pelajar Sekolah Menengah Tanjong Katong itu berminat mahu menjadi kurator muzium dengan pengkhususan kepada budaya dan warisan.
Buat masa ini juga, Cik Nur Shireen telahpun mendapat kerja sebagai pengkaji bebas di Taman Warisan Melayu bermula Mei lalu selepas tamat pengajian di Maktab Seni Lasalle. Mengulas tentang pencapaian Cik Nur Shireen, pensyarahnya Cik Sunitha Janamohanan, berkata: “Cik Nur Shireen merupakan seorang pelajar yang komited dan tekun yang sering mengambil bahagian dalam perbincangan kelas sambil memberi sumbangan bernas. Sepanjang pengajiannya di Lasalle, beliau sering memaparkan prestasi cemerlang dan profesional.”
Source: Berita Harian