Jawapannya, TIDAK BOLEH!!
Khususnya bagi isteri yang suaminya meninggal, kerana iddahnya telah bermula, dan isteri tidak boleh keluar meninggalkan rumah suami kecuali darurat.
Darurat ini bukan mengikut persepsi kita, tapi mengikut apa yang ditetapkan oleh syarak. Antara sebab yang dibenarkan untuk meninggalkan rumah suami adalah jika keselamatannya terancam. Sebab-sebab seperti ingin menziarahi kubur, atau menghadiri majlis ilmu tidaklah termasuk sebab yang darurat.
Ibadah mesti mengikut cara yang diatur oleh Allah, bukannya mengikut hawa nafsu. Jadi, kalau ingin suami yang meninggal mendapat redha Allah Ta’ala, isteri tidak boleh keluar daripada rumah suaminya selama 4 bulan 10 hari. Yang beri suami dan yang tak izinkan keluar ialah Allah SWT, jadi kita kena patuhi arahan Allah dan bukan dengar apa masyarakat kata.
Ambil iktibar dari kisah Ummu Salamah yang pada asalnya ingin menunjukkan cara ratapan luar biasa ketika suaminya meninggal. Tetapi setelah dilarang oleh Nabi SAW, dia akur dan menurut apa yang diajar Rasulullah ﷺ, dan akhirnya diganjar Allah dengan dia akhirnya diperisterikan oleh lelaki terbaik, iaitu baginda Rasulullah ﷺ sendiri. Iktibarnya – bilamana mendahulukan Allah, pasti ada ganjaran tak kira sama ada akan diberikan ketika di dunia ataupun disimpan untuk akhirat.
Isteri tidak perlu merasa bersalah dengan anggapan masyarakat yang mungkin mengatakan –“Isterinya tak hantar suaminya ke kuburlah.” Dan isteri juga tak perlu rasa bersalah dan membuat helah seperti isteri ikut tapi duduk dalam kereta saja, atau duduk jauh sikit dari tempat dikebumikan. Perasaan bersalah itu perlu diambil kira berdasarkan hukum Allah, dan bukan hukum budaya masyarakat. Jangan takut apa org cakap.
Pada zaman Rasulullah ﷺ sudah ada golongan wanita yang nak ikut ke kubur, lalu Nabi ﷺ bertanya kepada mereka, “Kamu nak pergi kubur, adakah kamu pikul jenazah itu? Jawab mereka, “Tidak.” Baginda RasuluLlah ﷺ bertanya lagi, “Adakah kamu akan masuk ke dalam kubur untuk menguburkan jenazah?” Jawab mereka, “Tidak.” Lalu Rasulullah ﷺ berkata, “Kamu balik kamu dapat ganjaran, lebih baik daripada kamu ikut dan kamu dapat dosa.”
Ini bukan menunjukkan yang agama ini tiada perasaan kepada kaum wanita. Hari ini orang akan mengatakan seorang isteri tak penuhi hak suami jika isteri tak hantar jenazah ke kubur. Lama-kelamaan orang akan kata tak penuhi hak suami jika tak semua ahli keluarga hadir di kubur.
Generasi akan datang pula akan kata tak penuhi hak suami jika tak masuk dalam kubur. Perubahan demi perubahan akan berlaku jika ianya dicipta mengikut akal fikiran manusia atau budaya tempatan yang sumbernya tak tetap. Tapi jika ikut hukum Allah, ia sama saja tak kira di mana berada – Malaysia, Indonesia atau Yaman dan lain-lain.
Jika ada yang kata, “Eh awak tak penuhi hak suami awaklah.
Jawab padanya, “Eh, Allah yg suruh saya tak ikut.” Oleh itu, pastikan apa yang kita buat itu adalah sesuai mengikut apa yang Allah Ta’ala suruh.
Jika ikut cakap orang kita dpt dosa, tapi ikut cakap Nabi ﷺ, yang tak pernah bercakap kecuali ianya wahyu daripada Allah Ta’ala, kita akan dapat pahala. Maka, rugi jika seseorang itu ikut cakap orang !
Di akhirat nanti bukan kawan itu yang akan membela kita di hadapan Allah, bahkan dia akan menjauh daripada kita.
Jika isteri ingin melihat suami buat kali terakhir atau ingin solatkan, bawa jenazah pulang ke rumah sebelum dikebumikan. Siapa kata jenazah tak boleh dibawa pulang ke rumah jika telah dimandi (dan disolatkan) di masjid?
Jika ingin solatkan, baca Quran atau apa saja – buat di rumah agar isteri tak perlu keluar. Kalau boleh mandikan di rumah lebih baik, tapi kalau tak boleh, bawa ke masjid, dan kemudian bawa balik ke rumah. Nak buat tahlil di masjid boleh, tapi isteri buat di rumah saja.
Isteri tak boleh keluar menunggu suami dimandikan di masjid atau seumpamanya, kerana iddah bermula setelah suami meninggal.
Perempuan, kalau nak pergi ke kubur, pergi pada hari selain darpada hari pengkebumian. Kecuali, jika satu kampung itu tiada lelaki, semuanya perempuan. Maka, dalam hal ini – perempuan yang bawa jenazah, yang gali kubur, yang kebumikan, yang uruskan semuanya.
Perempuan bukan dilarang pergi ke kubur, tapi risau berlaku perkara yang tidak sesuai dengan syarak jika ikut bersama lelaki yang menguruskan jenazah.
Kita pun lihat sendiri banyak berlaku, perempuan ahli keluarga duduk di hadapan kubur, dan sekelilingnya semuanya lelaki. Batasan antara lelaki dan perempuan tak lagi diperhatikan. Tambahan pula kalau perempuannya tidak menjaga cara berpakaian yang sopan dan menurut syarak.
Biarkan orang lelaki siap menguruskan. Esok pagi-pagi, baru anak dan ahli keluarga pergi untuk bacakan Yasin ke… dan akan dapat baca dalam keadaan tenang dan tak bercampur dengan lelaki.
Ambil iktibar daripada kisah anak perempuan Nabi Syuaib, yang ketika ingin mengambil air daripada perigi. Walaupun memerlukan, mereka tidak beratur bersama lelaki, tetapi mereka tunggu jauh daripada perigi sehingga lelaki selesai, baru mereka akan ambil air. Sama juga kalau nak ziarah kubur, tunggu orang lelaki selesai dulu, pergi keesokan harinya.
Terdapat banyak perbahasan ulama dalam kes isteri yang kematian suami dan perlu keluar bekerja, kerana memang sukar mendapatkan cuti selama 4 bulan 10 hari. Dalam keadaan darurat, seseorang dibenarkan melakukan sesuatu yang haram sekalipun. Dalam hal ini, kalau isteri bekerja, perlu dilihat adakah pekerjaan itu keperluan darurat atau tidak.
Kalau dengan dia tidak bekerja, tapi keperluan asasnya dapat dipenuhi, maka itu bukan darurat yang membolehkan dia untuk keluar bekerja. Tapi, kalau dengan dia tak bekerja, dia tak boleh makan, atau anak-anaknya tiada yang menanggung, atau keluarga suaminya tidak mampu menanggungnya, walhasil, dia ada sebab yang menyebabkan dia tidak boleh berhenti kerja, tapi sebab dan daruratnya itu perlu diambil kira oleh syarak dan bukan oleh diri sendiri.
Jadi, dalam hal ini, dia boleh keluar bekerja tetapi tetap tidak boleh meninggalkan tuntutan lain seperti berhias, dan melakukan hanya yang diperlukan sahaja dan keluar dari rumah pergi kerja, dan kemudian pulang ke rumah, dan tidak pula singgah di tempat-tempat yang tak berkaitan. Kalau nak pergi kedai, cuma untuk keperluan beli makanan dan minuman sahaja.
Wallahu’alam bissawab.
Source: Islam