Yaacob Ibrahim Jelas Isu Tudung, Serta Perincian Usaha Dan Tugas AP Melayu

Para Anggota Parlimen Melayu PAP sudah “lebih daripada setakat memainkan peranan mereka” dalam mengutarakan isu-isu kepada Pemerintah – di Parlimen mahupun secara tertutup.

Demikian ditegaskan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim dalam satu wawancara dengan media, semasa beliau berkempen menemui pengundi pagi tadi (5 September).

Malah, para Anggota Parlimen (AP) Melayu PAP, kata beliau, “membangkitkan lebih banyak isu nasional” berbanding pembangkang.

Dr Yaacob menambah, para AP Melayu PAP juga sentiasa mengimbangi kepentingan masyarakat Melayu/Islam dengan perspektif nasional.

Sebagai contoh, beliau menarik perhatian, para AP Melayu/Islam terus-menerus mendekati pemerintah dalam soal pemakaian tudung di tempat kerja. Dr Yaacob berkata, beliau “terus berharap bahawa dasar itu akan berubah” nanti.

ISU PEMAKAIAN TUDUNG

Mengulas isu memakai tudung di tempat kerja yang dibangkitkan beberapa calon pembangkang Melayu, Dr Yaacob berkata: “Kami bersimpati dengan nasib pekerja muslimah di sebahagian tempat kerja, dan kami berharap beberapa kelonggaran akan ditunjukkan kelak. Pada masa yang sama, kami perlu mengambil kumpulan yang lebih besar ke dalam konteks ini.”

Calon Parti Demokratik Singapura (SDP) Damanhuri Abas, misalnya, berucap secara panjang lebar tentang isu pemakaian tudung dalam rapat pilihan raya parti itu kelmarin.

Beliau antara lain berhujah supaya jururawat wanita Islam dibenarkan memakai tudung di tempat kerja.

Dr Yaacob, calon PAP bagi GRC Jalan Besar, berkata ini adalah satu isu yang sudah lama berlegar dan beliau serta rakan-rakan PAP beliau sudah utarakan sebelum ini.

Menyedari bahawa ini adalah sebuah masyarakat sekular dan pemerintah perlu berlaku adil, beliau berkata sebarang perubahan dasar perlu dikaji bagi mengetahui “kesannya yang diinginkan dan tidak diinginkan”.

Namun, beliau juga menegaskan bahawa dasar itu “bukanlah muktamad “, dan beliau serta rakan-rakannya akan terus berdialog dengan pemerintah untuk mencari cara-cara di mana “kita boleh lebih fleksibel di tempat kerja” sambil mengiktiraf “bahawa kita hidup dalam masyarakat yang menganut pelbagai kepercayaan”.

Jika masyarakat berbeza mahu meluaskan ruang mereka masing-masing, “kita mungkin mengurangkan ruang bersama” kata Dr Yaacob.

PRESTASI AP MELAYU DI PARLIMEN

Bercakap tentang para AP Melayu dari PAP, Dr Yaacob berkata, mereka “lebih daripada setakat memainkan peranan mereka (dan) bukan sahaja menyokong dasar-dasar pemerintah, tetapi juga membangkitkan persoalan-persoalan yang sangat, sangat sukar bagi pemerintah fikirkan.”

“Saya rasa jika saya meneliti kebertanggungjawaban AP PAP, kami satu tangga di atas dari segi prestasi dan anda boleh melihatnya. Malah bagi kesemua AP Melayu dalam Dewan, saya sudah melakukan analisis. Ramai AP Melayu PAP sudah menimbulkan lebih banyak isu-isu nasional berbanding pihak pembangkang,” ujar Dr Yaacob lagi.

“Kami tidak menghadkan diri kami kepada isu-isu masyarakat Melayu, kita juga bercakap tentang pengangkutan, jagaan kesihatan, segala-galanya,” kata Menteri Perhubungan dan Penerangan itu.

Beliau juga menambah para AP Melayu PAP mencapai lebih daripada yang diperlukan dari segi prestasi, sambil menyebut nama-nama Encik Zainal Sapari, Dr Intan Azura Mokhtar, Encik Zaqy Mohamad, Dr Fatimah Lateef, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dan Encik Zainudin Nordin.

Namun demikian, AP Melayu PAP “terus membincangkan cara-cara bagaimana kita boleh memajukan keperluan masyarakat (Melayu) dengan keperluan negara,” kata Dr Yaacob.

“Kami mengambil pendekatan nasional tetapi kami juga mempunyai kepentingan masyarakat di hati. Itulah tugas kita. Kita perlu mengimbangi kedua-duanya. Begitulah Singapura dikendalikan.”

KENDALIKAN ISU-ISU SENSITIF DI BALIK TABIR

Dr Yaacob berkata para AP Melayu membincangkan “banyak isu sensitif”dengan pemerintah di balik tabir.

Selepas pilihan raya 2011, beliau berkata, “kami bertemu PM dan membentangkan kertas kerja untuk membincangkan beberapa isu yang dihadapi masyarakat Melayu”.

Menurut beliau, ada di antaranya sudah dilaksanakan, termasuk Edusave untuk pelajar Madrasah, dan bantuan yang diumumkan baru-baru ini untuk mengukuhkan pengajaran mata pelajaran sekular di Madrasah. Ia diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa Rapat Hari Kebangsaan.

“Ada perkara yang kita lakukan secara tertutup. Kami tidak menghebahkannya di rapat-rapat (pilihan raya) dan melaungkannya. Kami melakukannya secara senyap-senyap, dan apabila ia diumumkan di Parlimen atau di Rapat Hari Kebangsaan, kami berdiri dan menyokongnya – itulah cara kita melakukan kerja-kerja kami,” jelas beliau dengan panjang lebar.

Dr Yaacob yang sudah menjadi AP sejak tahun 1997, berkongsi bahawa para AP Melayu/islam juga mendekati pemimpin masyarakat Melayu.

“Pada akhirnya, kita perlu mencari keseimbangan kerana kita hidup dalam sebuah masyarakat sekular dengan masyarakat yang berbeza-beza. Mustahil bagi kita untuk mengajukan agenda kita sahaja tanpa mengambil kira masyarakat lain.

“Jika kita berbuat demikian, maka kita menjadi seperti negara-negara lain – orang hanya berminat dengan agenda mereka sendiri, dan saya fikir kita akan mengganggu keharmonian sosial yang telah dibangunkan sejak 50 tahun lalu,” katanya.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *