Suara Rafaat Hamzah Kembali Lantang

SETELAH setahun meringkuk dalam penjara, beliau kini bersedia terus menghidupkan minatnya dalam arena sastera Melayu di Singapura.

Malah, rasa rindu untuk mempersembahkan karya seni beliau membuak-buak menyebabkan beliau ghairah setelah menerima undangan ‘beraksi’ dan mempamerkan karya seninya.

Rafaat Hamzah, yang dibebaskan pada 2 Jun lalu setelah menjalani hukuman penjara setahun kerana terjebak dengan dadah, telah pun membuat beberapa persembahan awam termasuk di acara pelancaran Bulan Bahasa tahun ini.

Pada 6 Oktober ini, beliau akan beraksi di pentas Malam Sastera anjuran BeritaHarian.sg

Nada pertuturan beliau berubah menjadi ghairah apabila meluahkan apa yang dirasakan semasa menerima undangan untuk mempersembahkan karyanya.

Menurutnya, undangan ke Malam Sastera adalah yang pertama diterima sebaik dibebaskan, namun kerana tarikh acara itu ditangguhkan lantaran Pilihan Raya Umum 2015, ia bukan acara pertama yang beliau hadiri.

“Saya gembira sangat kerana dapat melepaskan rindu dan naik ke pentas untuk menyampaikan kerja saya. Mungkin ada penonton atau teman yang rasa terlepas rindu ‘kan? Jika perasaan itu mutual, alhamdulillah,” ujar beliau yang datang berpakaian kasual dan bertopi.

Beliau akur walaupun ada yang boleh menerimanya, tentu ada yang enggan.

“Sebelum saya masuk penjara pun tak semua yang terima saya, jadi selepas saya keluar pun sama jugalah – ada yang boleh terima, ada yang tidak,” katanya.

Namun, beliau berkata masyarakat Melayu umumnya bersifat pengampun.

“Saya percaya dengan masyarakat dan industri. Bagi saya, kalaupun nak sekat pergerakan saya, ia tidak mudah.

“Tidak mudah menyekat karya seni, dan tidak ada orang yang boleh buat seorang seniman berhenti bekerja atau berkarya. Ini kerana walaupun seorang seniman tu tidak boleh berjalan sekalipun, beliau tetap akan berkarya,” katanya.

Ditanya mengenai persembahan beliau untuk Malam Sastera kelak, Rafaat tertawa.

Katanya, walaupun beliau ada beberapa cetusan idea bagi karya yang akan dipersembahkan, belum ada yang pasti.

“Kekadang walaupun telah saya sediakan puisi atau sajak yang ingin dipersembahkan, pada saat-saat akhir saya akan menukarnya kepada sesuatu yang berbeza, mengikut keadaan, ruang atau suasana persembahan. Oleh itu tidak ada yang pasti,” ujarnya.

Namun, beliau menekankan bahawa tiada dua persembahan beliau yang sama 100 peratus.

“Walaupun puisi atau sajak itu sama, cara saya mempersembahkannya akan dibezakan. Saya akan melagukan atau memendekkan puisi atau sajak tersebut serta bermain dengan nafas untuk menghidupkan lagi puisi atau sajak tersebut,” katanya penuh semangat membincangkan bidang yang beliau minati itu.

Rafaat berkata acara itu amat penting, terutama bagi Berita Harian kerana bahasa dan sastera tidak boleh dipisahkan daripada dunia kewartawanan.

“Ia bukan sahaja amat dialu-alukan tetapi ia seperti suatu kewajipan (untuk mengadakan acara ini). Ia juga penting untuk menjadi wadah bagi karya-karya tempatan, lebih baik lagi jika kita dapat memasyarakatkan Malam Sastera kerana penting bagi karya-karya ini sampai kepada masyarakat.

“Saya tidak bimbang sama ada sastera Melayu atau bahasa Melayu di Singapura akan mati kerana walaupun masyarakat kita jumlahnya sedikit, masih ramai yang meminati dan giat meneruskan sastera Melayu di sini,” ujarnya.

Rafaat dan 11 seniman mapan lain bakal mempersembahkan karya mereka di acara Malam Sastera anjuran wadah digital Berita Harian pada 6 Oktober di Auditorium SPH.

Mereka yang ingin mendaftar diri bolehlah mengunjungi laman web kami diwww.beritaharian.sg/malamsastera.

Tiket bagi pementasan puisi Malam Sastera adalah $18 seorang, dan $12 seorang bagi pembelian secara berkumpulan dengan minimum empat orang atau lebih.

Wacana Malam Sastera pula, yang akan diadakan sebelum pementasan puisi itu, tidak mengenakan sebarang bayaran masuk.


ATUR CARA

Tarikh: Selasa, 6 Oktober

Tempat: Auditorium SPH, 1000 Toa Payoh North, News Centre

Wacana: 5 petang hingga 7.15 malam

Pendaftaran bermula pada 4.30 petang.

Masuk percuma

Pementasan Puisi: 8 hingga 10 malam

Pendaftaran bermula 7.15 malam.

Makanan disediakan

Tiket biasa: $18 seorang

Tiket berkumpulan (minimum empat orang): $12 seorang

Laman web: www.beritaharian.sg/malamsastera

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *