Dr Norshahril Saat Dipilih Penerima Pertama Anugerah Sarjana Syed Isa Semait

MUIS memilih, Zamil ISEAS – Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, sebagai penerima pertama bagi Anugerah Sarjana Syed Isa Semait atau SISS.

Anugerah itu mengiktiraf kepimpinan dan sumbangan besar mantan Mufti Singapura Syed Isa Semait terhadap kefahaman berbilang agama di negara ini.

Anugerah yang disertakan dengan wang bernilai $10,000 pula diberikan kepada calon paling layak antara para penerima Biasiswa Pos Siswazah MUIS PGS, sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2005.

Dr Norshahril Saat, pernah menerima biasiswa PGS pada tahun 2011.

Beliau berhasrat untuk mendalami cadangan dan pendapat mahasiswa-mahasiswa yang menuntut di Timur Tengah untuk kajiannya yang akan datang.

“Saya fikir ini satu pengiktirafan besar, di atas nama Syed Isa Semait. Saya fikir saya mahu belajar daripada pengalaman beliau yang menyumbang selama empat dekad dalam masyarakat Melayu/Islam Singapura,” jelas Dr Norshahril.

Pengiktirafan dan biasiswa itu diberikan kepada para penerima dalam satu majlis yang dihadiri Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim.

Menurut Dr Yaacob beliau amat menyokong inisiatif MUIS itu dalam memastikan masyarakat sentiasa ada para pakar dalam bidang-bidang tertentu.

“Mereka menjadi satu sumber yang penting bagi masyarakat kita oleh kerana kita menghadapi berbagai cabaran tertentu. Dengan sumber-sumber yang ada atau pakar-pakar yang kita telah melabur, saya harap mereka boleh menolong masyarakat kita menerajui dan mengatasi cabaran-cabaran yang kita akan hadapi dan sedang hadapi demi untuk kita mencari kesejahteraan bagi masyarakat kita,” ujar Dr Yaacob.

Penerima biasiswa PGS Muhammad Azfar Anwar, pernah menuntut di Universiti Darul Ulum di Kaherah.

Mantan pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah ini bakal melanjutkan pengajiannya ke peringkat ijazah sarjana di Universiti Oxford dalam jurusan Falsafah Pengajian Islam dan Sejarah.

“Saya lagi ingin mendalami lagi ilmu agama Islam dan saya ingin mendapat pelbagai perspektif dalam mempelajari ilmu Islam, bukan sahaja dari perspektif yang tradisional tetapi dari perspektif yang moden juga, yakni di Oxford,” kata Muhammad Azfar.

Muneerah Abdul Razak pula menerima geran kewangan bagi melanjutkan pengajiannya dalam bidang politik Timur Tengah di Universiti London.

Sejak tahun 2005, MUIS telah membelanjakan lebih $1 juta daripada wang zakat untuk para penerima biasiswa PGS, seramai 24 orang.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *