Paderi Kagum Etika Nilai Anakanya Yang Peluk Islam

Paderi Gereja England yang juga cendekiawan antara agama, Profesor Graham Ward, dari Universiti Oxford mengakui pernah disebut sebagai “ayah yang gagal” apabila anak perempuannya mengambil keputusan memeluk Islam.

Ahli akademik unggul itu memberitahu hadirin dalam syarahan perdana anjuran Pertubuhan Antara Agama (IRO) bertajuk Pluralisme Agama dan Kepelbagaian Budaya di Auditorium Ngee Ann Kongsi Universiti Pengurusan Singapura (SMU) baru-baru ini:

“Apabila anak perempuan saya mengumumkan keputusannya memeluk Islam, sebahagian anggota keluarga datang kepada saya dan bertanya, ‘Apa dah jadi dengan kamu ini? Kamu berkelakuan buruk sebagai seorang ayah’,” singkap Profesor Ward.

Ketika ditanya apakah reaksi pertama beliau dan isteri, Cik Mary Ward, dengan keputusan puterinya itu, Profesor Regius Ketuhanan Universiti Oxford berusia 60 tahun itu, dalam satu pertemuan berasingan di lobi Hotel Fairmont, menambah:

“Kami berasa lega. Ini kerana kami mahu anak perempuan kami berkahwin dengan seorang yang percaya pada agama. Ia penting dalam beliau menjalani kehidupan yang bermutu dan beretika.”

Sepanjang wawancara selama setengah jam itu, berulang kali Profesor Ward melahirkan kekaguman beliau dengan cara kehidupan anaknya, Cik Rachel Ward, 29 tahun, dan menantunya, Encik Muhammad Yazeed Adams, 32 tahun, di Cape Town, Afrika Selatan.

Cik Ward, yang kini bertugas sebagai ketua penggubal dasar, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia di Afrika Selatan, mula bertemu Encik Muhammad Yazeed, yang bertugas dalam bidang risiko korporat, semasa Cik Ward menjalani program latihan amali dalam bidang hak asasi manusia selama tiga bulan di Cape Town.

“Saya paderi di gereja, maka saya lihat mutu kehidupan seseorang itu. Ia bukan setakat apa yang seseorang itu kata. Ramai yang daripada kepercayaan berbeza boleh berkata macam-macam. Tetapi apakah kehidupan mereka yang sebenar?” tanya beliau dengan nada penuh tenang.

Bersama suaminya, Cik Rachel, seorang Sarjana Falsafah Undang-Undang Hak Asasi Manusia di Universiti Cape Town, dan dijadual melahirkan anak ketiganya dalam masa sebulan lagi, membesarkan anak sulung, Iriyana, lima tahun; dan Ali, tiga tahun; dengan cara Islam.

Profesor Ward, yang turut mempunyai apartmen sendiri dalam lingkungan masyarakat Islam di Bo-Kaap, sebuah daerah di Cape Town, berkata apabila di sana, beliau yang mengakui gemar memasak, akan menyiapkan juadah halal buat keluarganya.

“Apabila saya masak saya diberitahu agar masak lebih kerana mereka mahu mengagihkan makanan tersebut.

“Jika mereka mahu membuang makanan sekalipun, mereka akan berdoa bersama sebelum makanan itu dibuang. Saya amat tertarik dengan amalan sebegitu iaitu adanya rasa hormat pada makanan sedangkan terlalu banyak pembaziran berlaku di seluruh dunia,” akui beliau.

Apabila mereka menjamu selera di restoran sekalipun, baki makanan akan dibungkus. Ia kemudian diberikan kepada orang jalanan.

“Inilah mutu hidup penuh kasih sayang tanpa mengira apa jua kepercayaan,” kata Profesor Ward yang turut menyaksikan sendiri kehidupan anaknya semasa Ramadan – bangun sahur dan berbuka bersama keluarga.

“Saya ikut berpuasa bersama mereka walaupun Rachel tidak menyuruhnya. Saya melakukannya kerana saya mahu memahaminya sendiri. Ternyata ia amat sukar!” akui beliau sambil ketawa.

Toleransi antara agama apatah lagi dalam keluarga adalah penting.

“Generasi saya mungkin tidak ada isu dengannya, tetapi tidak bagi generasi sebelumnya.

“Ibu mentua saya pada awalnya sukar menerima keputusan Rachel. Saya dan isteri kemudian menerbangkan beliau ke Cape Town untuk meluangkan masa bersama anak kami agar beliau dapat lihat sendiri tiada apa yang perlu dirisaukan. Beliau gembira dan berpuas hati,” tambahnya.

Bagi Profesor Ward sendiri penerimaan perbezaan dapat turut dilihat dalam keluarga menantunya.

“Yazeed akan memandu dan menghantar saya ke gereja di Cape Town dan ibu Yazeed pula akan memberitahu saya bila waktu sembahyang di gereja akan diadakan. Inilah hubungan kekeluargaan yang sebenar dalam menerima perbezaan.

“Inilah asas kehidupan yang beretika dalam beragama. Setiap individu bermaruah dan suci,” kata Profesor Ward yang turut ikut duduk di masjid dan mengakui berasa tenang di dalamnya.”

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *