Gaza Ibarat ‘Penjara Terbuka’, Dibelenggu Masalah Kemiskinan Dan Pengangguran

SEMENANJUNG GAZA: Tahun lalu, laporan PBB meramalkan bahawa Semenanjung Gaza akan menjadi ‘tidak boleh didiami” pada tahun 2020.

Ibarat ‘penjara terbuka’, Gaza dibelenggu dengan kemiskinan dan masalah pengangguran.

Bagi golongan muda di Gaza, akibat kekurangan peluang, satu-satunya penyelesaian adalah dengan meninggalkan tanah air mereka.

Dua tahun lalu, Mohammed Abu Hassira mengalami kecederaan di kakinya dalam pertempuran dengan Israel.

Walaupun peperangan berakhir dan kecederaannya semakin pulih, namun, luka dari segi psikologi masih nyata.

Kesannya- beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan tanah air dan memulakan perjalanan yang berliku menuju ke Eropah.

Mohammed berkata ada rakan-rakannya yang sampai ke Sweden, Norway dan Belgium melalui jalan laut dan darat.

Tahun lalu, Mohammed memohon untuk mendapatkan visa untuk ke Turki.

Seperti kebanyakan warga Gaza, permohonannya gagal.

Untuk diluluskan, ia memerlukan pasport Palestin, bukti pekerjaan dan $500 dalam akaun bank.

Syarat-syarat itu adalah di luar jangkauan kebanyakan warga Gaza. Namun, Mohammed tidak putus asa dan mencuba satu lagi jalan.

Beliau terpaksa beratur di sebuah pejabat pelancongan memandangkan tiada kedutaan di Gaza.

Pejabat seperti itu menjadi pengantara antara mereka yang mahu meninggalkan Gaza dan mereka yang mahu mendapatkan visa untuk ke negara lain.

Menurut seorang penyelidik, separuh dari penduduk Gaza mahu berhijrah dan tidak hairanlah jumlah ini semakin meningkat.

Namun, seorang pegawai tinggi Hamas menolak kenyataan itu dan berkata penghijrahan bukan penyelesaian kepada perjuangan rakyat Palestin.

Ternyata, realitinya berbeza. Bagi kebanyakan warga Gaza, satu-satunya pilihan adalah untuk melarikan diri dari negeri sendiri.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *