INDONESIA: Hari Raya akan menjelma tidak lama lagi. Antara yang menjadi kebiasaannya pada waktu-waktu ini adalah mencari pakaian baru.
Sebaiknya membeli mengikut kemampuan masing-masing malah tidak semestinya semua perlu serba baru.
Namun, ada yang nekad melakukah jenayah semata-mata untuk mendapatkan yang baru pada Hari Raya.
SURI RUMAH CURI DOMPET SEORANG NENEK
Seorang suri rumah di Palembang Indonesia mencuri dompet seorang nenek yang bernama Hajah Rokiah semasa beliau sedang memilih baju muslimah di sebuah kedai.
Menurut maklumat yang diterima laman Merdeka.com, suspek bertindak semasa mangsanya sedang leka lantas dia melanggar mangsa sehingga mangsa hampir terjatuh sebelum mencuri dompet nenek berkenaan.
Mujur pemilik kedai itu mula berasa curiga dan memberitahu mangsa, menyebabkan mangsa segera menjerit.
Meskipun suspek cuba melarikan diri, dia akhirnya berjaya ditangkap dan berkata: ‘’Saya mahu membeli baju Hari Raya.’’
TERTARIK JADI PENGEDAR DADAH DEMI WANG BELANJA HARI RAYA
Dalam satu lagi kes berasingan, gara-gara terdesak mahukan wang untuk berbelanja sempena Aidilfitri, Erpin, 45 tahun sanggup menjadi pengedar dadah.
Dia ditangkap semasa sedang berurus niaga di Jalan Taman Kenten, Palembang.
Apabila polis memeriksanya, dia cuba menjatuhkan sebungkus plastik ke arah belakangnya namun diketahui oleh seorang pegawai.
Menurut suspek, dadah tersebut adalah milik rakannya dan dia begitu terdesak memerlukan wang untuk membuat persiapan Hari Raya sehingga tertarik menjadi pengedar.
SUSPEK CURI 4 KALI DARI KEDAI YANG SAMA
Dalam kedua-dua insiden itu suspek sudahpun ditangkap, namun berlainan pula dengan satu lagi kes di mana suspek masih berleluasa malah perbuatannya mencuri hanya diketahui setelah telefon bimbit pemilik kedai pakaian hilang dan mereka memutuskan untuk melihat rakaman CCTV.
Menerusi rakaman CCTV, salah seorang pekerja kedai Toko Rahmad Ilahi yang sibuk dengan orang ramai yang sedang berbelanja sempena Aidilfitri itu berkata, seorang lelaki yang mencurigakan dilihat memasuki kedai tersebut.
Oleh kerana kedatangannya ke kedai itu tidak disedari keempat-empat pekerja kedai, suspek mencuri sebanyak empat kali dari kedai yang sama.
“Menerusi rakaman kami lihat lelaki itu pada mulanya memasuki kedai dan mengambil beberapa set pakaian kanak-kanak, yang kedua mengambil rok, yang ketiga mengambil sepasang seluar dan yang keempat telefon bimbit serta pakaian lain,” menurut Anwar, pemilik Toko Rahmad Ilahi, seperti yang ditukil Antara.
Beliau sudahpun membuat aduan polis berhubung insiden itu.
Source: http://berita.mediacorp.sg