Buat julung-julung kalinya sejak Anugerah Reka Bentuk Presiden dilancarkan pada 2006, seorang jurutera, Dr Hossein Rezai, adalah antara tiga penerima anugerah berprestij, “Pereka Terbaik”.
Anugerah itu diberikan oleh Presiden Tony Tan Keng Yam semalam (9 Dis) di satu majlis yang diadakan di Istana, menurut Majlis DesignSingapore dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dalam satu kenyataan.
(Dari kiri) Dr Hossein Rezai, Raymond Woo dan Rene Tan.
Dr Rezai, pengarah bagi Web Structures dan juga seorang jurutera berkanun dalam kejuruteraan awam dan struktur, sudah melibatkan diri dengan projek-projek reka bentuk dan pembangunan seperti Masjid Assyafaah, yang menggunakan rangka lengkung konkrit untuk mewujudkan ruang solat yang bebas tiang di tingkat satu dan yang dapat menampung tiga tingkat bilik-bilik darjah dan ruang sampingan lain.
(Gambar: Web Structures)
REKA BENTUK MASJID ASSYAFAAH JIMAT KOS
Rangka lengkung itu membantu mewujudkan ruang yang lebih luas di tingkat bawah serta mengurangkan kos binaan sebanyak 6.5 peratus.
Kos keseluruhan pembinaan bangunan masjid itu adalah AS$43 juta (S$30 juta).
Dr Rezai memberitahu Mediacorp bahawa reka bentuk yang baik dan yang dapat menjimatkan kos bukan sesuatu yang mustahil.
“Dengan reka bentuk struktur kami, tiada sebab mengapa kami perlu menggunakan lebih banyak bahan daripada apa yang benar-benar diperlukan. Dari segi struktur, anda tidak akan meraih apa-apa dengan membelanjakan lebih banyak wang atau menggunakan lebih banyak bahan. Oleh itu, kami mengurangkan pengeluaran karbon dioksida dengan mengurangkan penggunaan bahan.”
TURUT TERLIBAT BINA KAMPUS BARU MEDIACORP
Projek-projek lain Dr Rezai di Singapura, termasuk kampus baru Mediacorp setinggi 12 tingkat, seluas 800,000 kaki persegi yang terletak di Stars Avenue serta Pusat Tokio Marine dan Ardmore Residence.
(Gambar: Web Structures)
Source: http://berita.mediacorp.sg