Ibu bapa mana yang tidak bangga, lebih-lebih lagi jika anak mereka cemerlang dalam bidang yang diceburi dan berada setapak lebih dekat dalam menggapai impiannya.
Demikianlah yang dirasakan personaliti setempat, Shahrin Azhar Mohamed, apabila anaknya yang ketiga, Danish Qayyum mendapat peluang keemasan untuk mengikuti kem latihan di Kelab Bola Sepak Valencia, di Sepanyol.
Danish merupakan antara 12 pemain bola sepak bawah 16 tahun yang terpilih untuk menyertai kem latihan tersebut selama seminggu di bawah biasiswa Yayasan Olimpik Singapura-Peter Lim. Mereka bertolak ke Sepanyol pada Isnin lalu.
Dalam satu video yang dimuatnaikkan oleh ayahnya di laman Facebook, Danish berkata: “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua dan insya-Allah saya akan membuat yang terbaik.”
Pelajar berusia 14 tahun itu turut menerima ganjaran dermasiswa (bursary) sebanyak S$2,000 oleh Peter Lim, jutawan Singapura yang juga merupakan pengerusi bagi kelab Sepanyol itu.
Ketika dihubungi BERITAMediacorp, Shahrin Azhar tidak dapat membendung rasa syukurnya atas peluang yang diterima oleh anaknya itu.
“Ini adalah satu rahmat kerana dia sudah lama mengimpikan peluang seperti ini. Malah, Danish juga pernah menyuarakan hasrat untuk menjadi seorang pemain bola sepak profesional.
“Sejak kecil, saya dapat melihat potensinya untuk menjadi seorang pemain yang baik dan saya gembira melihat perkembangannya kini. Alhamdulillah,” kata ayah empat orang anak itu.
DARI SEORANG YANG PEMALU KE PEMAIN YANG BERANI
Awalnya disifatkan sebagai seorang yang pemalu, Danish juga lama-kelamaan dilihat semakin berani dan tidak lagi takut untuk berhadapan dengan pasukan lawan yang lebih dewasa, menurut ayahnya itu.
Seorang pemain penyerang yang turut bermain untuk kelab Home United bawah 15 tahun, Akademi Bola Sepak Kebangsaan (NFA) bawah 14 tahun dan Sekolah Sukan Singapura Kelab Bola Sepak Chelsea (Chelsea F.C. SSSG), Danish juga sering menemani ayahnya ke perlawanan-perlawanan bola sepak dan diajak bermain bersama.
(Gambar-gambar: Shahrin Azhar)
Pelajar Sekolah Menengah Coral itu turut dilatih oleh bekas pemain kebangsaan Singapura, Yahya Madon di peringkat sekolah.
“Danish menyertai sekolah tersebut melalui Kemasukan Langsung ke Sekolah (DSA) menerusi ko-kurrikular bola sepak. Malah, di bawah bimbingan jurulatih Yahya Madon, ramai rakan sepasukan Danish juga menjadi lebih baik disebabkan kemahiran teknikalnya yang bagus,” dedahnya kepada BERITAMediacorp.
MENDAPAT EMPAT TAJAAN
Turut diuruskan oleh syarikat pengurusan StarComm Management, bakal pelajar Sekolah Menengah Meridian itu, turut menerima empat tajaan termasuk Adidas, Lucozade, Yokohama Tyres dan AXA Insurance.
Sekolah Menengah Meridian adalah gabungan Sekolah Menengah Coral dan Sekolah Menengah Siglap, mulai tahun depan.
Menurut Shahrin, syarikat pengurusan tersebut juga mempunyai rancangan selanjutnya untuk mempromosikan Danish bagi sesi latihan di England dan Australia.
“Sebagai ibu bapa, kami harus memahami dan mengenal pasti bakat anak kita, tetapi saya membiarkan syarikat pengurusan untuk menguruskan anak saya supaya dia mendapat peluang yang secukupnya di luar negara,” jelasnya.
“Malah, saya sering menasihatkan Danish bahawa jika dia mahu bermain bola sepak secara profesional, dia harus faham bahawa ia bukan setakat kemahiran sahaja, tetapi dia juga harus mengimbanginya dengan bisnes dalam konteks hari ini, sebagai contoh Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi,” sambung Shahrin lagi.
TERUS RENDAH DIRI DAN FOKUS PADA MATLAMAT
Bagaimanapun, sebagai seorang ayah, Shahrin tetap berharap agar anaknya sentiasa rendah diri sekiranya dia meraih lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.
“Kejayaan mungkin boleh membuat kita lupa. Tetapi kita harus sering mengingatkan diri untuk fokus pada matlamat yang ingin kita capai agar kita dapat terus berjaya, sekaligus memberi inspirasi kepada orang lain bahawa mereka juga boleh melakukannya, tanpa mengira latar belakang.
“Tentunya, pengalaman untuk berlatih di luar negara seperti ini adalah suatu yang berharga dan tak ternilai harganya,” kata Shahrin lagi tentang penerobosan yang dicapai anaknya itu.
Danish Qayyum dan 11 pelajar lain dijangka pulang ke Singapura pada Selasa depan.
Source: http://berita.mediacorp.sg