Membantu belia-belia bermasalah untuk membaiki kehidupan mereka menjadi fokus Encik Farid Khan, pengerusi syarikat perkhidmatan marin yang mengumumkan hasrat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden, bulan depan. Sebagai seseorang yang terpaksa berhenti sekolah semasa berusia 14 tahun, beliau begitu faham erti hidup dalam keadaan “tidak berdaya”. Encik Farid juga menyentuh tentang pertikaian mengenai keturunan dan kemelayuannya. Malah, beliau mengaku agak “terasa” dengan cakap-cakap masyarakat.
“KENAPA ORANG MELAYU S’PURA TAK BOLEH TERIMA SAYA”
Sebagai seorang yang tidak biasa menjadi perhatian ramai, kritikan dan persoalan-persoalan yang dilemparkan kepada Encik Farid Khan, pada awalnya membuatkan pengerusi syarikat Bourbon Offshore Asia Pacific ini berkecil hati. “Dari awal saya sudah bilang, itu adalah saya, IC saya Pakistani. Tapi kalau kita lihat balik cara saya cakap, memang saya orang Melayu. Kalau dari telefon mungkin orang tak tahu ini orang Pakistan mungkin, orang Peranakan yang cakap. Jadi saya mula-mula terasa juga sedikit, kenapa orang Melayu Singapura macam tak boleh terima saya, tapi akhirnya saya rasa, setelah kita tunggu satu dua hari, yang positif mulai memberi reaksi.”
Malah, Encik Farid berkata pengalaman membesar dalam kalangan orang Melayu dan liku-liku kehidupan yang diharunginya sendiri membuatkan beliau begitu faham dengan isu-isu yang menjadi keprihatinan masyarakat Melayu. “Kerana saya memang dari rakyat jelata, saya bukan elit, tidak. Dari rakyat, jadi saya tahu benar masalah kita, satu seperti perjuangan yang dilakukan sebagai rakyat biasa, banyak itu, saya tahu, saya tahu benar. Seperti belia-belia bermasalah, di situ saya banyak menaja mereka, ada yang kalau tak salah, dua yang agak bagus itu, memang the pelajar cemerlang, kata mereka, pelajar terbaik, kita hantar pergi Umrah,” ujar Encik Farid.
HAMPIR 14 TAHUN BERHENTI SEKOLAH, IBU MENANGIS
Encik Farid turut berkongsi pengalaman paling pahit semasa membesar, apabila terpaksa berhenti sekolah demi membantu menyara keluarga dan keputusannya itu membuatkan ibunya menitiskan air mata. Susulan itu, Encik Farid menanam azam untuk kembali ke sekolah dan meskipun sukar, tekadnya yang kuat membuahkan hasil. “Masa saya berhenti sekolah itu saya berjanji dengan ibu. Saya berhenti, umur saya 14 tahun. Ibu saya tidak kasi, bilang jangan, menangis tidak kasi, itu susah. Tapi saya janji, saya akan simpan wang dan balik ke sekolah. Jadi makan masa lebih daripada 12 tahun, hampir 14 tahun untuk saya kembali ke sekolah. Itu janji saya kepada ibu saya. Itu pertama kali saya masuk sekolah itu, itu sangat berkesan pada saya,” kongsi Encik Farid.
Meskipun sukar, istilah putus asa jelas tidak wujud dalam kamus kehidupan Encik Farid. Setelah hampir 14 tahun meninggalkan bangku sekolah, beliau boleh berbangga dengan kejayaan yang dikecapi. “Susah, memang susah. Tapi kerana tekad itu agak kuat, jadi azam untuk berjaya agak kuat. Jadi saya belajar bersungguh-sungguh, jadi kita tak tahu tanya orang sana, tanya orang sini, telefon sana, telefon sini sampai saya faham. Waktu nak ambil peperiksaan itu, saya panik sebentar, sudah lama tak balik sekolah. Tapi Alhamdulillah, pertama kali saya masuk, saya lulus! Itu adalah satu-satu, boleh kita katakan, kenangan yang sangat- sangat berkesan, pertama kali pegang sijil,” kata Encik Farid dengan nada ceria.
BUKAN MUDAH, PERLU FOKUS
Walaupun Encik Farid sudah boleh disifatkan sebagai orang yang berjaya dan dapat hidup senang, hatinya masih mahu menyumbang lebih banyak kepada negara yang begitu dicintainya. Oleh sebab itu, pada 11 Julai lalu, beliau mencetuskan tanda tanya dalam kalangan masyarakat mengenai siapakah gerangan pengerusi eksekutif sebuah syarikat perkhidmatan marin yang melahirkan hasrat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden pada bulan depan. Apakah yang menjadi motivasi kepada bapa dua orang anak itu untuk berani menggalas tanggungjawab baru dan besar, sedangkan beliau tiada pengalaman dalam bidang politik sebelum ini?
“Waktu pertama kali yang kita mulai fikirkan untuk bertanding, itu bulan Mei. Perjalanan ini memang bukan semudah yang kita fikirkan, tak semudah itu. Banyak cabaran. Tapi kalau kita sudah mulai fokus, tumpuan kita itu agak jelas. Jadi banyak yang boleh kita atasi. Jadi ada, terutama sekali sokongan daripada teman-teman dan kita lihat juga dari catatan Facebook yang kita terima daripada rakyat, orang yang kita tak kenal, jadi sangat terharu saya. Jadi saya rasa dari situ motivasinya makin kuat,” ujar Encik Farid. Dengan Pilihan Raya Presiden yang semakin hampir, Encik Farid berharap masyarakat dapat melihat dirinya sebagai seorang yang berkorban demi Singapura. “Lihat saya sebagai seorang yang benar-benar maju ke hadapan untuk negara, bukan untuk sanak-saudara, bukan untuk saya, bukan untuk keluarga saya. Saya akan berkorban untuk rakyat Singapura, seluruhnya, bukan rakyat Melayu sahaja. Seluruh rakyat Singapura,” ujar beliau.
Source: Berita Mediacorp