Tahun ini merupakan kali pertama Encik Abdullah Moosa dan isterinya akan menyambut akhir Ramadan dan Hari Raya berjauhan daripada keluarga.
Encik Abdullah, 60 tahun, dan Cik Rubiah Mohammed, 58 tahun, antara jemaah warga Singapura yang menunaikan umrah pada akhir Ramadan ini.
Mereka berlepas ke Jeddah, Arab Saudi, kelmarin.
“Saya rasa sangat ghairah. Dengan izin Allah, saya dipilih menunaikan umrah di sana.
“Tentunya saya akan rindu kepada keluarga saya kerana tak dapat sambut Hari Raya dengan mereka di sini, tetapi saya serahkan semuanya pada Ilahi. Insya-Allah semuanya okay,” kata beliau, yang pernah menunaikan umrah dua kali sebelum ini.
Sekitar 300 jemaah Singapura telah berlepas ke Jeddah sejak Jumaat lalu.
Beberapa agensi yang menyediakan pakej umrah semasa akhir Ramadan berkata rombongan jemaah mereka secara umumnya telah berlepas ke Arab Saudi pada 4 Julai lalu dan akan kembali ke Singapura pada 19 Julai nanti.
Rata-rata mereka berkata ramai jemaah yang pergi ke sana pernah mengerjakan umrah dan ingin beribadah di Makkah bagi mengejar fadilat 10 malam terakhir Ramadan.
Pengurus di Shahidah Travel & Tours, Cik Rosila Salim, berkata ramai jemaah yang pergi kali ini merupakan mereka yang pernah menunaikan umrah semasa Ramadan.
Beliau turut menarik perhatian bahawa terdapat satu trend baru dengan lebih ramai lelaki bujang muda menunaikan umrah bersendirian.
“Ada yang semuda 21 tahun. Mungkin mereka menerima galakan daripada ibu bapa mereka dan mereka cenderung pada agama serta ingin mendapatkan fadilat sepenuhnya pada 10 hari terakhir Ramadan,” kata beliau.
Pengarah pengurusan Jalaluddin Travel & Services, Ustaz Jalaluddin Hassan, berkata menyambut Ramadan di tanah suci adalah suatu pengalaman luar biasa.
Beliau berkata terdapat dua rombongan menunaikan umrah semasa Ramadan, dengan rombongan kedua sekitar 20 orang akan kembali ke tanah air pada 19 Julai nanti.
“Mereka ingin menyambut Ramadan di sana kerana ganjarannya. Kemeriahan di sana juga sangat luar biasa. Pada bulan Ramadan, orang ramai berbuka bersama, semua murah hati dan tiada beza antara kaya dengan miskin,” ujarnya.
Pengarah Ruby Rashid Travel & Tours, Hajah Ruby Rashid, berkata jemaah yang menunaikan umrah di sana datang daripada pelbagai lapisan usia – daripada yang muda hingga yang lanjut usia.
Rombongan jemaahnya berlepas ke Arab Saudi mengikut konsortium yang dibentuk bersama beberapa agensi lain.
“Mereka yakin dapat lailatulqadar di sana dan ingin menyambut Hari Raya di sana juga. Memang lebih seronok di sana,” kata beliau.
Source: http://beritaharian.sg