Tag: pengganas

  • Malaysia Tidak Berhasrat Bawa Pulang Ketua Militan ISIS Asia Tenggara, Muhammad Wanndy

    Malaysia Tidak Berhasrat Bawa Pulang Ketua Militan ISIS Asia Tenggara, Muhammad Wanndy

    Malaysia tidak berhasrat untuk membawa pulang jenazah ketua militan ISIS Asia Tenggara Muhammad Wanndy Mohamed Jedi yang disahkan terbunuh di Syria.

    Demikian menurut Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Bagaimanapun, beliau berkata keluarga Muhammad Wanndy boleh berbuat demikian dengan perlu berbincang dan berurusan dengan pihak berkuasa di Syria.

    “Kerajaan Malaysia dimaklumkan oleh pihak risikan antarabangsa berkenaan kematian Muhammad Wanndy dalam satu serangan dron.

    “Kerajaan Malaysia tidak ada perancangan untuk membawa pulang jenazahnya. Pihak keluarga (Muhammad Wanndy) boleh berbincang dengan pihak berkuasa di sana (Syria) (untuk membawa pulang jenazah),” katanya.

    Encik Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri Malaysia dan kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari di Australia bermula Ahad lalu, berkata demikian kepada wartawan Malaysia hari ini ketika ditanya tentang warga Malaysia itu yang dilaporkan terbunuh dalam satu serangan di Raqqa, Syria pada 29 April lalu.

    Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar mengesahkan perkara itu di laman rasmi Twitter semalam selepas membuat penelitian terhadap maklumat yang diperoleh.

    Pada 29 April lalu, berita kematian Muhammad Wanndy viral di laman sosial selepas isterinya Nor Mahmudah Ahmad, 28 tahun, memuat naik status dalam laman Facebook memaklumkan suaminya itu meninggal dunia dalam satu serangan dron.

    Source: http://berita.mediacorp.sg/

  • Gadis Denmark Bertempur Lawan ISIS, Tapi Hadapi Hukuman Penjara

    Gadis Denmark Bertempur Lawan ISIS, Tapi Hadapi Hukuman Penjara

    DENMARK: Seorang gadis jelita warga Denmark, Joanna Palani, 23 tahun, kini menghadapi hukuman penjara enam bulan gara-gara berjuang bersama tentera Kurdi di Syria untuk melawan kumpulan pengganas ISIS.

    Menurut Daily Mail, pada 14 November 2014, Palani, yang berketurunan Kurdi, membuat perjalanan ke Syria dan menyertai YPG (Unit Perlindungan Rakyat Kurdi) dan kemudian Peshmerga, tentera terlatih Kurdi, untuk bertempur dengan para militan ISIS.

    Mahkamah Copenhagen City mengenakan dakwaan ke atas Palani kerana dia melanggar undang-undang Denmark yang melarang warganya menyertai ‘pertempuran asing’.

    Ironinya, gadis jelita itu berjuang untuk menentang kumpulan pengganas.

    Pemerintah Denmark sebelum ini melarang Palani daripada menjadi pejuang Kurdi. Bahkan tahun lalu, pasportnya dirampas oleh polis dan pihak perisikan Denmark (PET). Namun, Palani bertekad untuk memberikan jiwa raganya demi demokrasi, kemerdekaan dan hak asasi wanita.

    “Jika saya ditangkap atau tewas, saya akan tetap bangga atas apa yang saya perjuangkan,” kata Palani, yang berketurunan Kurdi.

    Undang-undang tentang pertempuran asing ditetapkan pemerintah Denmark untuk memperketatkan usaha anti-esktremisme dalam negara itu.

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Nazem Suki: Pakar-Pakar Penyelidik Dan Golongan Terorisma Dari Golongan Sama Yang Sesat

    Nazem Suki: Pakar-Pakar Penyelidik Dan Golongan Terorisma Dari Golongan Sama Yang Sesat

    Pakar-pakar penyelidik dalam ideologi terorisma juga adalah golongan yang menyelewang dan sesat.

    Apabila golongan teroris memesong salah guna fatwa dan ajaran ulama muktabar untuk kepentingan ideologi terorisma mereka, golongan pakar selidik terorisma juga memesong salah guna fatwa dan ajaran ulama muktabar yang sama untuk melabel ulama tersebut adalah ‘ibu’ ideologi terorisma.

    Maka secara khusus nya, golongan terorisma dan penyelidik terorisma adalah sama dari golongan yang sesat yang parah.

    Mungkin tidak menjadi melampau sekira pakar selidik terorisma ini akan mengatakan Al Quran dan Sunnah adalah ‘ibu’ ideologi terorisma.

    Yang lebih parah ialah pakar ini dilahirkan seorang Muslim, atau hanya Muslim pada nama.

     

    Source: Mohamed Nazem Suki

  • Mufti Fatris Bakaram: Apa Cara Yang Terbaik Untuk Tangani Ajaran Ekstremis?

    Mufti Fatris Bakaram: Apa Cara Yang Terbaik Untuk Tangani Ajaran Ekstremis?

    Muqaddimah Pertama: “Ibn Taimiyyah punca pemikiran ekstremis”

    Muqaddimah Kedua: “Saya memiliki dan membaca beberapa kitab karangan Ibn Taimiyyah”

    Natijah: “Maka, saya seorang ekstremis, atau penyokong golongan ekstremis”

    Saya rasa secara umum ada tiga pilihan yang boleh diambil oleh golongan agamawan.

    Pilihan Pertama: Sokong logika ini. Bawa dan bentangkan dalil bagi mempertahankan setiap satu dari Muqaddimah Pertamanya, Muqaddimah Keduanya dan Natijahnya. Berhujah membela “kebenaran” keseluruhan struktur logika ini.

    Pilihan Kedua: Dengan menggunakan kerangka dan proses mental yang sama, tolak logika ini dan tegaskan “kebatilan”nya, dan bentangkan dalil untuk mempertikaikan Muqaddimah Pertamanya, Muqaddimah Keduanya dan Natijahnya.

    (Pilihan Pertama dan Pilihan Kedua ini tidak sempurna jika yang memilihnya tidak “masuk gelanggang” untuk berlawan hujah)

    Pilihan Ketiga: Bersama masyarakat mengatur langkah seiring sekata untuk memperkasakan keupayaan intelek, agar umat ini tidak lagi terus-terusan terperuk di dalam pola pemikiran naif dan simplistik di dalam membincangkan isu-isu kritikal seperti ekstremisme dan terorisme.

    Saya pilih yang ketiga ini.

    Bagaimana?
    Ada teman-teman asatizah yang mahu bersama saya?

    Cuma perlu saya ingatkan, pilihan ketiga ini:
    -tidak mudah
    -memenatkan
    -mengambil masa yang lama
    -tiada jaminan berhasil sebelum kita tutup mata
    -sering mengundang kata-kata yang mengguris hati
    -tidak glamour

    Teman-teman asatizah, sanggup?

     

    Source: Fatris Bakaram

  • Mufti Pahang Gesa Kerajaan Malaysia Haramkan Buku Ibnu Taimiyah

    Mufti Pahang Gesa Kerajaan Malaysia Haramkan Buku Ibnu Taimiyah

    BANGI, Ahad – Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman menggesa kerajaan supaya segera mengharamkan buku karangan Ibnu Taimiyah berikutan dibimbangi fatwa yang terkandung dalam buku tersebut disalah gunakan oleh kumpulan pelampau untuk memerangi umat Islam di Malaysia.

    Malah beliau turut menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri supaya melakukan kajian terhadap isi kandungan buku itu kerana terdapat beberapa perkara yang jelas bercanggah dengan fahaman majoriti umat Islam di negara ini.

    “Majoriti umat Islam di negara ini telah mengikut aliran Asha’irah dan Maturidiah sejak dari dulu lagi malah, de­ngan mengikuti aliran majoriti ini keadaan umat Islam di Malaysia sentiasa hidup dalam keadaan aman dan bersatu-padu.

    “Namun, sejak fatwa Ibnu Taimiyah mula disebarkan oleh sesetengah pihak umat Islam di negara ini mula berpecah-belah lebih teruk, terdapat ustaz-ustaz yang melabel sesuatu perkara itu sebagai bidaah dan sebagainya, kita bimbang akan tiba satu pe­ringkat sehingga darah umat Islam menjadi halal hanya kerana tidak bersetuju dengan pan­dangan mereka,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia, hari ini.

    Mengulas lanjut katanya, beberapa negara di Asia Barat seperti Mesir, Jordan dan Algeria telah mengharamkan buku-buku karya Ibnu Taimiyah kerana bimbang dengan pengaruh pihak pelampau.

    Maka katanya, pengharaman terhadap karya-karya Ibnu Taimiyah wajar dilakukan juga di Malaysia.

    Katanya lagi, Kementerian Pendidikan juga perlu memantau pendidikan Tauhid yang dibawa oleh pengikut Ibnu Taimiyah kerana ia bukan sahaja bercanggah malah telah mengetepikan pendekatan Sifat 20 yang dipegang sejak dahulu lagi.

    Sebelum ini, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan bahawa kumpulan militan Daesh telah menggunakan petikan atau fatwa daripada Ibnu Taimiyah dalam hujah mereka untuk menjustifikasi tindakan ganas yang dilakukan.

    Ayob berkata, ada antara fatwa itu digunakan Daesh dengan melabelkan aliran Asha’irah yang dipegang majo­riti umat Islam negara ini sebagai sesat, syirik dan kafir, sekali gus menghalalkan tindakan mereka untuk membunuh rakyat Malaysia.

     

    Source: www.ismaweb.net