Mufti Pahang Gesa Kerajaan Malaysia Haramkan Buku Ibnu Taimiyah

BANGI, Ahad – Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman menggesa kerajaan supaya segera mengharamkan buku karangan Ibnu Taimiyah berikutan dibimbangi fatwa yang terkandung dalam buku tersebut disalah gunakan oleh kumpulan pelampau untuk memerangi umat Islam di Malaysia.

Malah beliau turut menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri supaya melakukan kajian terhadap isi kandungan buku itu kerana terdapat beberapa perkara yang jelas bercanggah dengan fahaman majoriti umat Islam di negara ini.

“Majoriti umat Islam di negara ini telah mengikut aliran Asha’irah dan Maturidiah sejak dari dulu lagi malah, de­ngan mengikuti aliran majoriti ini keadaan umat Islam di Malaysia sentiasa hidup dalam keadaan aman dan bersatu-padu.

“Namun, sejak fatwa Ibnu Taimiyah mula disebarkan oleh sesetengah pihak umat Islam di negara ini mula berpecah-belah lebih teruk, terdapat ustaz-ustaz yang melabel sesuatu perkara itu sebagai bidaah dan sebagainya, kita bimbang akan tiba satu pe­ringkat sehingga darah umat Islam menjadi halal hanya kerana tidak bersetuju dengan pan­dangan mereka,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, beberapa negara di Asia Barat seperti Mesir, Jordan dan Algeria telah mengharamkan buku-buku karya Ibnu Taimiyah kerana bimbang dengan pengaruh pihak pelampau.

Maka katanya, pengharaman terhadap karya-karya Ibnu Taimiyah wajar dilakukan juga di Malaysia.

Katanya lagi, Kementerian Pendidikan juga perlu memantau pendidikan Tauhid yang dibawa oleh pengikut Ibnu Taimiyah kerana ia bukan sahaja bercanggah malah telah mengetepikan pendekatan Sifat 20 yang dipegang sejak dahulu lagi.

Sebelum ini, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan bahawa kumpulan militan Daesh telah menggunakan petikan atau fatwa daripada Ibnu Taimiyah dalam hujah mereka untuk menjustifikasi tindakan ganas yang dilakukan.

Ayob berkata, ada antara fatwa itu digunakan Daesh dengan melabelkan aliran Asha’irah yang dipegang majo­riti umat Islam negara ini sebagai sesat, syirik dan kafir, sekali gus menghalalkan tindakan mereka untuk membunuh rakyat Malaysia.

 

Source: www.ismaweb.net

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *