Malaysia Tidak Berhasrat Bawa Pulang Ketua Militan ISIS Asia Tenggara, Muhammad Wanndy

Malaysia tidak berhasrat untuk membawa pulang jenazah ketua militan ISIS Asia Tenggara Muhammad Wanndy Mohamed Jedi yang disahkan terbunuh di Syria.

Demikian menurut Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, beliau berkata keluarga Muhammad Wanndy boleh berbuat demikian dengan perlu berbincang dan berurusan dengan pihak berkuasa di Syria.

“Kerajaan Malaysia dimaklumkan oleh pihak risikan antarabangsa berkenaan kematian Muhammad Wanndy dalam satu serangan dron.

“Kerajaan Malaysia tidak ada perancangan untuk membawa pulang jenazahnya. Pihak keluarga (Muhammad Wanndy) boleh berbincang dengan pihak berkuasa di sana (Syria) (untuk membawa pulang jenazah),” katanya.

Encik Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri Malaysia dan kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari di Australia bermula Ahad lalu, berkata demikian kepada wartawan Malaysia hari ini ketika ditanya tentang warga Malaysia itu yang dilaporkan terbunuh dalam satu serangan di Raqqa, Syria pada 29 April lalu.

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar mengesahkan perkara itu di laman rasmi Twitter semalam selepas membuat penelitian terhadap maklumat yang diperoleh.

Pada 29 April lalu, berita kematian Muhammad Wanndy viral di laman sosial selepas isterinya Nor Mahmudah Ahmad, 28 tahun, memuat naik status dalam laman Facebook memaklumkan suaminya itu meninggal dunia dalam satu serangan dron.

Source: http://berita.mediacorp.sg/

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *