TRANSFORMASI KEPIMPINAN MELAYU

Sejauh manakah perubahan diperlukan dalam kepimpinan Melayu sekarang berikutan langkah berani pemerintah membuat transformasi dalam kepimpinan politik negara ini?

Langkah besar pemerintah itu dibuat dalam bentuk perlantikan pasukan kabinet baru dengan menggugurkan hampir seluruh muka lama serta iltizam untuk menilai semula semua dasar pemerintah dan perlaksanaan dasar-dasar tersebut yang telah menimbulkan kegusaran rakyat sehingga menjadi isu besar dalam pilihan raya umum yang baru lalu.

Pemerintah sudahpun mula mengotakan janji dengan membuat beberapa penyesuaian yang diperlukan terhadap beberapa dasar seperti perumahan, rawatan kesihatan dan pengangkutan awam, serta dalam perlaksanaan dasar-dasar tersebut untuk menjadi lebih mesra rakyat dan lebih mengambil kira keperihatinan mereka.

Tidak mungkin gelombang besar perubahan yang didayausahakan pemerintah itu tidak terkena tempiasannya kepada kepimpinan Melayu.

Kepimpinan Melayu di sini merujuk bukan hanya kepada individu-individu yang telah mengambil peranan sebagai pemimpin baik di bidang umum atau tertentu, tetapi juga dari kalangan badan-badan Melayu-Islam yang telah memberikan khidmat masing-masing.

Ini termasuk badan pemerintah atau separuh pemerintah seperti Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Yayasan Mendaki (YM). Muis sebagai badan yang menjalankan pentadbiran hukum Islam manakala YM pula lebih memberi tumpuan di bidang pendidikan dan kemasyarakatan.

Terdapat juga badan-badan bukan pemerintah yang besar seperti Angkatan Karyawan Islam (AMP) dan Jamiyah, atau yang saiznya lebih sederhana seperti Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Taman Bacaan dan Persatuan Ulama dan Guru Agama Singapura (Pergas). Badan-badan itu memberikan kepimpinan dalam berbagai-bagai bidang seperti keagamaan, kesenian dan kemasyarakatan.

Untuk perubahan kepimpinan Melayu menjadi berkesan, perlu ada pengongsian pemahaman yang betul mengapa perubahan diperlukan. Perlu juga ada penerimaan bersama terhadap beberapa prinsip yang wajar menjadi panduan kepada melakaukan perubahan yang boleh membawa kepada kemajuan dan kesejahteraan masyarakat.

Saya yakin kepimpinan Melayu yang ada sekarang, baik pemimpin mahupun pengikut, percaya bahawa kemajuan tidak mungkin tercapai tanpa kesediaan atau keberanian untuk berubah.

Oleh itu, angin perubahan yang dicetuskan kepimpinan politik negara mungkin dapat menjadi pembakar semangat untuk segera merealisasikan perubahan yang diperlukan.

Soalnya, apakah gagasan perubahan kepimpinan Melayu yang dikehendaki dalam usaha masyarakat mencapai kemajuan dan tidak tinggal dalam belenggu kejumudan?

Banyak faktor yang harus diambil kira dalam langkah membuat perubahan dalam kepimpinan Melayu demi mengangkat tahap kesejahteraan masyarakat.

Saya sekadar menyarankan beberapa faktor utama yang harus sama dipertimbangkan.

Pertama, sejauh mana kepimpinan Melayu berani berhadapan dengan realiti?

Sebagai masyarakat yang menganut agama Islam, kita perlu tegas menentukan bahawa kesejahteraan yang kita mahukan harus mencakup aspek kebendaan dan kerohanian. Kepimpinan Melayu harus berani berhadapan dengan realiti ini dan menjelaskan dengan tegas keperluan ini sebagai visi dan misi kepimpinan mereka.

Tanpa keberanian berhadapan dengan realiti ini, kepimpinan Melayu akan terus lemah di mata masyarakatnya.

Setelah menentukan tujuan dan keperluan ini, perkara seterusnya ialah menentukan struktur yang tepat untuk dipakai bagi mencapainya. Beranikah kita merubah struktur yang terpakai sejak lebih sepuluh tahun atau lebih daripada itu jika menunjukkan struktur itu gagal menghasilkan apa yang pernah dihasilkan dahulu?

Struktur yang dianggap berjaya harus berhasil menawarkan barangan dan perkhidmatan bagi memenuhi tujuan yang hendak dicapai, memakai proses yang sejajar dengan nilai-nilai yang patut dipatuhi serta mampu memanfaatkan teknologi yang ada bagi menghasilkan barangan dan perkhidmatan yang dimaksudkan.

Realiti yang harus dihadapi ialah apa yang berjaya dipakai pada satu masa dahulu tidak semestinya boleh berjaya dipakai untuk semua masa. Yang baik buat sekarang tidak semestinya baik untuk masa hadapan. Malah ‘ukurtara’ yang dianggap terbaik hari ini mungkin bukan lagi realiti pada penilaian masa muka.

Kenyataan ini turut terpakai dalam proses penggantian kepimpinan Melayu itu sendiri.

Kedua, sejauh mana kepimpinan Melayu fokus dalam hal-hal yang strategik?

Sekurang-kurangnya ada tiga bidang strategik yang perlukan penglibatan aktif kepimpinan Melayu.

Pimpinan dalam pelaburan yang boleh membantu membuat perubahan yang besar.

Ini termasuk mengenalpasti bidang-bidang yang mampu membawa kemenangan lalu menyalurkan peruntukan sumber ke dalam bidang tersebut. Perlu ada keberanian mempengaruhi masyarakat supaya tidak menyalurkan sumber-sumber yang sedia terbatas ke dalam bidang-bidang yang dikenalpasti tidak banyak mendatangkan manfaat, sebaliknya sering mengecewakan.

Kepimpinan dalam menentukan bidang kerja dengan bijak.

Sering menjadi kecenderungan umum untuk mengukur kejayaan berdasarkan banyaknya kerja yang dijalankan atau program yang dilakar dan dilaksanakan. Akibatnya berlaku peruntukan sumber yang tidak realistik dalam bidang-bidang yang tidak strategik serta kerja timbal-balik dalam kegiatan yang tidak menguntungkan.

Dengan keterbatasan sumber, perlu ada kebijakan dalam menyalurkan sumber yang ada dalam bidang-bidang yang lebih menjamin pulangan yang tinggi.

Perlu ada kesedaran bahawa prestasi kejayaan kerja tidak seharusnya diukur hanya kepada berapa banyak program yang dijalankan, tetapi harus menjurus kepada pulangan hasil yang berkesan yang memberi nilai tambah dalam kesejahteraan masyarakat.

Pembinaan ketrampilan.

Mereka yang bersedia mengambil peranan kepimpinan mesti lebih bersedia menyediakan diri dengan ketrampilan terutama dalam memenuhi keperluan yang strategik seperti di bidang penyelesaian masalah, pembikinan keputusan dan ketrampilan kepimpinan yang lain.

Sebagai contoh menyediakan ruang menerima maklumbalas, walaupun langkah yang baik tetapi tidak mencukupi kecuali ada ketrampilan kepimpinan dalam mendengar maklumat, keupayaan menganalisis maklumbalas yang diperolehi serta ketrampilan dalam memberikan respons mengikut keutamaan dan keperluan dengan cepat.

Ketiga, sejauh mana kepimpinan Melayu bijak mengadakan komunikasi yang berterusan dalam menganjurkan perubahan?

Membuat perubahan yang baik dan berkesan akan hanya bermakna jika semua pihak yang terlibat berkomunikasi secara berterusan dan berkesan. Gaya berkomunikasi itu pula harus serasi dengan setiap pihak yang berkepentingan dalam usaha membuat perubahan itu, supaya masing-masing dapat digerakkan melakukan sesuatu yang baru menurut maksud perubahan yang dijalankan.

Kepimpinan Melayu perlu menguasai kemahiran di bidang berkomunikasi ini dan memanfaatkannya sebagai cara mempengaruhi masyarakat supaya menyokong perubahan.

Untuk maksud itu, pesan atau perutusan yang hendak disampaikan harus jelas supaya mudah difahami, dan disampaikan dengan jujur supaya dapat dipercayai.

Harus diingat bahawa tujuan berkomunikasi ialah untuk membolehkan orang lain mengetahui tentang diri kita dan mengajak mereka bersama memahami antara satu sama lain. Proses berkomunikasi melibatkan pengongsian idea dan rasa antara mereka yang terlibat secara jujur. Komunikasi yang dijalankan dengan proses yang telus dan betul akan mampu membentuk konsensus di kalangan semua pihak yang berkepentingan.

Sayangnya, pengertian komunikasi begini sering terabai dalam masyarakat akibat kurang disiplin dalam memaham maksudnya. Seringkali komunikasi berakhir dengan pernyataan sehala antara satu pihak kepada pihak lain.

Kerap tujuan berdialog atau perundingan gagal dicapai lantaran kecenderungan pihak-pihak tertentu menggunakannya sama ada sekadar untuk menyampaikan sesuatu pesan atau bagi ‘melepaskan apa yang terbuku dalam dada’. Ini satu contoh komunikasi yang buruk kerana bersifat sepihak sahaja.

Terdapat juga kecenderungan untuk cepat membuat penilaian awal (prejudgment) atau penafsiran berbeza bagi satu hal yang sama yang sering menjadi hambatan kepada berlakunya komunikasi yang berkesan.

Akibatnya, pertemuan dengan bentuk komunikasi yang demikian gagal menghasilkan idea-idea baru yang bernas serta rumusan yang dapat dimanfaatkan bagi perubahan dan kemajuan.
Kepimpinan Melayu harus membantu membangunkan sistem berkomunikasi yang berkesan dan bukan menjadi penghambat kepadanya. Hanya dengan komunikasi yang berkesan dan berterusan barulah konsensus tulen didapatkan daripada masyarakat dalam mengongsi keperluan membuat perubahan untuk kemajuan dan kesejahteraan bersama.

Tentu ada beberapa perubahan lain yang wajar dipertimbangkan. Ini termasuk misalnya keberanian dalam penggantian dan rejuvenasi kepimpinan.

Mungkin ada orang bertanya manakah yang perlu didahulukan: penggantian kepimpinan atau kefahaman yang jelas terhadap prinsip-prinsip perubahan yang harus dijalani dalam masyarakat?

Tiada jawapan yang betul mutlak kepada soalan ini. Yang penting ialah semua faktor itu perlu dijalin dengan baik bagi menghasilkan satu perancangan yang menyeluruh dalam usaha membuat transformasi memajukan msayarakat.

Maarof Salleh
Edisi tersunting makalah asal ini terbit di BH Jumaat 17.06.11

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *