TIDAK semua orang Islam pengganas. Tidak semua orang Kristian taasub. Tidak semua ahli politik pencuri. Tidak semua pesakit mental ganas.
Terdapat unsur-unsur dalam masyarakat yang suka mewujudkan ketegangan antara sesama manusia, menggunakan kata-kata dan imej yang sesuai dengan tujuan mereka. Ada juga yang menggunakan kemahiran dan masa untuk menanam benih kebencian dan menggalak prasangka.
Motif mereka berbuat demikian mungkin berpunca daripada pengalaman negatif masa lalu atau apa yang telah diajarkan kepada mereka sejak zaman kanak-kanak. Mereka tidak berminat mencari kebenaran, sebaliknya semangat mereka dinaikkan oleh perasaan benci dan prasangka.
Sebagai seorang anggota sebuah pertubuhan di Singapura yang bertujuan membantu dan memperkasa pesakit mental dalam perjalanan mereka ke arah pemulihan, saya sangat biasa dengan stigma besar yang dihadapi orang yang berpenyakit mental.
Ini satu halangan besar bagi proses pemulihan mereka. Inilah sebabnya kami di Kelab Heal bekerja keras memerangi dan membasmi stigma.
Di Singapura masa kini, umat Islam mengalami nasib sama. Saya katakan ini kerana setiap seorang daripada kita hanya perlu pergi ke kumpulan perbincangan Yahoo mengenai sebarang topik melibatkan umat Islam seperti ‘isu tudung’, dan kita akan menemui banyak komen yang menghina umat Islam dan agama Islam.
Mungkin cara lebih baik ialah memikir dan merenungkan cara terbaik memberitahu dan mendidik orang ramai mengenai Islam dan umat Islam.
Saya yakin bahawa jika kita terus memperkasa masyarakat dengan pengetahuan tepat mengenai Islam mereka akan berubah dan menerima orang Islam dan juga mula menyayangi kita.
Nyatakan perkara sebenar
Allah berfirman dalam Al-Quran: “Tidak ada paksaan dalam agama… ” (Al-Baqarah, ayat 256).
Inilah sebabnya mengapa sejarah telah membuktikan bahawa orang Islam apabila berkuasa, melayan rakyat bukan Islam mereka dengan tahap toleransi tinggi, adil dan hormat.
Hubungan adil antara orang Islam dan penganut agama lain bukan semata-mata kerana pemerintah Islam bermain politik, tetapi sebaliknya ia hasil langsung daripada ajaran agama Islam yang mengajar bahawa penganut agama lain bebas mengamalkan kepercayaan mereka, tetapi pada masa yang sama boleh menerima bimbingan yang ditawarkan Islam secara rela.
Lihat apa sarjana bukan Islam tulis tentang pemerintah bukan Islam dahulu seperti Will Durant:
“Pada masa khalifah Umayyah, penduduk yang mengikat perjanjian, Kristian, Majusi, Yahudi dan Sabian, semua menikmati tahap toleransi yang kita tidak dapati sekarang sekalipun di negara-negara Kristian. Mereka bebas mengamalkan ritual agama mereka dan gereja serta kuil mereka dipelihara. Mereka menikmati autonomi dari segi mereka tertakluk kepada undang-undang agama ulama dan hakim mereka.
“Islam menuntut bukan sahaja mereka diberi kebebasan mengamalkan agama mereka, bahkan dilayan dengan adil sebagaimana manusia lain.”
Status kemanusiaan kurniaan Tuhan ini membentuk asas bagi prinsip kemuliaan manusia dalam Islam, baik orang itu Islam mahupun bukan Islam.
Allah berfirman: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada satu (pasangan) lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha mendalam pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” – (Al-Hujurat, ayat 13).
Rasulullah saw mengisytiharkan dalam khutbah perpisahan beliau kepada perhimpunan terbesar dalam sejarah Arab ketika itu:
“Wahai manusia, ingatlah sesungguhnya Tuhan kamu satu dan bapa kamu satu, ingatlah tidak ada orang Arab yang lebih utama daripada orang bukan Arab, dan tidak ada orang bukan Arab lebih utama daripada orang Arab, atau orang kulit merah lebih utama daripada orang kulit hitam, atau orang kulit hitam lebih utama daripada orang merah, melainkan dengan sebab ketakwaannya. Sudahkah aku menyampaikan?”
Kisah mengharukan dari Sydney
Saya bernasib baik kerana dapat belajar perubatan di Universiti Sydney pada awal 1990-an. Ketika itu saya seorang Penduduk Tetap Australia.
Di sana saya menjalin persahabatan kukuh dengan rakan-rakan sekuliah dan mereka beradal daripada pelbagai latar belakang – orang Australia kulit putih, anak pendatang Eropah, pelarian Vietnam dan pendatang Asia lain.
Satu peristiwa berlaku selepas peperiksaan akhir kami pada tahun ketiga. Kami semua memutuskan untuk berkelah dengan membawa makanan masing-masing di Taman Rose di Taman Bunga Diraja Sydney.
Kawan saya, Ngee Ta, menjemput saya makan pau daging beliau. Beliau memberitahu kami mengenai pengalaman beliau pergi ke penjual daging halal.
“Radiah, saya pergi ke kedai daging halal dan meminta daging babi halal. Si penjual mentertawakan saya dan memberitahu saya tidak ada daging babi. Jadi saya belikan awak daging lembu sahaja. Awak mesti cuba rasa O.K.?”
Kami semua ketawa besar mendengar cerita beliau tetapi saya terharu dengan usahanya memastikan saya dapat makan hidangan beliau.
Rakyat dipengaruhi apa yang mereka baca – dan kebanyakan orang membaca daripada akhbar, majalah dan media sosial di mana berita separuh benar dan laporan berat sebelah dihasilkan dalam kebanyakan laporan itu dan dengan sangat pesat pula.
Tidak semua orang sanggup atau cuba mengesahkan kebenaran sesuatu yang dibaca. Entah bagaimana, hanya kerana berita itu ditaip kemas dan dibentangkan dengan gambar warna-warni, ramai akan terus mempercayainya. Hasilnya mereka yang membangkitkan kebencian dan prasangka agak berjaya dalam menyebarkan stigma terhadap umat Islam.
Oleh itu perjuangan menentang kebencian dan prasangka mesti diteruskan sehingga kita mencapai satu suasana di mana pemahaman dan rasa hormat antara rakyat berbilang kaum dan kepercayaan berbeza tercapai. Pepatah Melayu menyebut ‘Tak kenal maka tak cinta’.
Sebagai sebahagian daripada usaha ini, kami di Kelab Heal akan menganjurkan acara puasaton serta iftar pada hari ini. Walaupun ia bukan satu acara baru di dunia tiada pertubuhan lain di Singapura yang pernah menganjurkannya.
Umat Islam menaja makanan bagi saudara bukan Islam mereka yang ‘berpuasa’ hari ini dan menderma hasilnya kepada Kelab Heal.
Mereka akan berkumpul di Persatuan Arab Singapura untuk ‘berbuka puasa’ bersama dalam perhimpunan rakan-rakan yang bertekad melenyapkan stigma.
Saya sangat menantikan kedatangan detik ini apabila kita kembali kepada semangat kampung masa lalu apabila orang tidak menunggu orang lain untuk menyapa dahulu, senyuman mudah diberi dan dibalas dan pada setiap musim perayaan jiran bertukar-tukar hadiah baik dalam bentuk makanan mahupun barang lain.
Apakah langkah pertama?
Senyum pada satu sama lain.
Hari ini tidak ramai orang yang akan memulakan senyuman. Namun, jika diberi senyuman mereka akan membalasnya. Sesungguhnya senyuman menguntumkan senyuman.
Inilah yang saya cuba amalkan setiap hari dan hidup menjadi lebih menyenangkan kerananya. Dan jika senyuman saya tidak dibalas saya tidak akan kehilangan apa-apa kerana senyuman yang saya beri tidak membuat saya rugi apa-apa pun.
Yang kita perlu hanya cinta!
Senyumlah pada satu sama lain,
Dekatilah saudara kita,
Bantulah satu sama lain,
Mencapai saudara,
Membantu satu sama lain,
Yang kita perlukan hanya cinta!
– Zain Bhikha, penyanyi/penulis lagu Afrika Selatan.
- Penulis doktor keluarga di sektor awam dan presiden Kelab Heal yang membantu pemulihan pesakit mental, khususnya pesakit Islam.
Tulisan dari Dr Radiah Salim
Sumber: http://beritaharian.sg/premium/wacana/hidayah/teruslah-berjuang-akhiri-prasangka-terhadap-penganut-agama-berbeza
YOUTUBE: youtube.com/user/rilek1corner
FACEBOOK: facebook.com/rilek1corner
TWITTER: twitter.com/Rilek1Corner
WEBSITE: rilek1corner.com
EMAIL: [email protected]
FEEDBACK: rilek1corner.com/hubungir1c