Sasterawan Hasilkan Novel Mengenai Permasalahan Melayu

Isa kamari BH

SEPERTI masyarakat lain di Singapura, orang Melayu turut dibelenggu pelbagai masalah.

Antaranya ialah pendidikan, peluang pekerjaan dan isu kekeluargaan. Bagaimanapun, terdapat dua lagi masalah yang sama genting, namun jarang ditampilkan.

Isu homoseksual dan murtad tetap tersulam dalam fabrik masyarakat Melayu di sini.

Sehubungan itu, nantikan kemunculan novel ke-10 penulis prolifik Singapura, Encik Isa Kamari, yang akan menggali kedua-dua isu tersebut.

“Kedua-dua isu ini telah mengajukan cabaran hebat kepada masyarakat Melayu masa kini.

“Permasalahan dalam novel ini agak berat dan saya jangka akan mengambil masa yang lama menyiapkannya,” ujar Encik Isa, ketika diwawancara menerusi e-mel baru-baru ini.

Encik Isa, 54 tahun, merupakan sasterawan mapan dalam persada sastera Melayu Singapura.

Sejauh ini beliau telah menghasilkan sembilan novel – Selendang Sukma (2014), Duka Tuan Bertakhta (2011), Rawa (2009), Memeluk Gerhana (2007), Atas Nama Cinta (2006), Tawassul (2002), Menara (2002), Kiswah (2002) dan Satu Bumi (1998). Tujuh daripadanya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.

Timbalan Pengarah Bahagian Infrastruktur Komuter Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) itu juga mempunyai dua koleksi cerpen, enam koleksi puisi, satu koleksi naskhah teater dan beberapa skrip drama.

Atas segala usahanya selama ini Encik Isa diiktiraf, malah menjadi penerima termuda, menerusi tiga anugerah – Anugerah SEA Write pada 2006, Pingat Budaya pada 2007 dan Anugerah Tun Sri Lanang pada 2009. Pemegang ijazah Sarjana Falsafah Persuratan Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia itu juga antara 14 sasterawan dan penggiat sastera yang mendeklamasikan sajak dalam acara Malam Sastera Berita Harian bulan lalu. Encik Isa mendeklamasikan sajak karangannya bertajuk Raudhah dan Kepulangan.

“Saya ingin menawarkan persembahan berbentuk kerohanian untuk mengimbangi sajak kemasyarakatan yang disampaikan penyair lain.

“Dua kuntum puisi itu telah dilagukan sebelumnya, maka ia memberi peluang kepada saya menyampaikannya dengan cara bermelodi pula,” ujar Encik Isa.

Meskipun sibuk bekerja sepenuh masa, Encik Isa tetap mencuri masa menyerikan pelbagai kegiatan sastera dan berkarya. Setelah menghadiri Pesta Sastera Asean di Jakarta Mei lalu, beliau dijemput Nusa Centre dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) di Kuala Lumpur untuk membicarakan Selendang Sukma dan membaca puisi di Dataran Merdeka bulan lalu. Beliau juga baru selesai menulis buku berjudul Roh Angin, yang menghimpunkan tulisan mengenai proses kreatifnya.

Bapa dua puteri itu kini berusaha menterjemahkan baki dua novelnya – Kiswah dan Selendang Sukma – ke bahasa Inggeris.

“Usaha ini perlu bagi membantu saya bertapak di arena antarabangsa. Saya fikir dunia perlu tahu dan menghargai sastera Melayu Singapura.

“Terjemahan karya ialah jambatan yang membantu kita sampai ke matlamat tersebut. Saya gembira pengarang seperti Suratman Markasan, Mohd Latiff Mohd dan Rasiah Halil juga mengambil langkah yang sama,” ujar Encik Isa.

Berkenaan rancangan masa depannya, Encik Isa telah dijemput menghadiri Pesta Buku Antarabangsa Edinburgh di United Kingdom. Beliau bakal membicarakan novel terjemahan berjudul The Tower (Menara). Beliau sedang bekerjasama dengan sebuah stesen penyiaran untuk menghasilkan program mengenai warisan Raffles di rantau ini. Program tersebut akan menyentuh novel Duka Tuan Bertakhta.

“Sastera ialah hati nurani dan pemikiran masyarakat. Hakikatnya, kepentingannya setanding, malah lebih utama daripada keperluan ekonomi dan keselesaan yang bersifat keduniaan. “Ini disebabkan ia menawarkan makna kepada kehidupan manusia.

Maka, usah merendahkan martabatnya,” ujar Encik Isa.

Tulisan dari NURUL AIN RAZALI

 

Sumber: See more at: http://beritaharian.sg/premium/gah/bahasa-sastera/terjemahan-karya-jambatan-ke-pesada-antarabangsa

letters to R1C banner

YOUTUBE: youtube.com/user/rilek1corner

FACEBOOK: facebook.com/rilek1corner

TWITTER: twitter.com/Rilek1Corner

WEBSITE: rilek1corner.com

EMAIL: [email protected]

FEEDBACK: rilek1corner.com/hubungir1c

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *