Aliff Aziz Curi Telefon Bimbit, Didenda $2000

aliff aziz

PENYANYI kelahiran Singapura yang telah mencipta nama di seberang Tambak, Aliff Aziz, dikenakan denda $2,000 Jumaat lalu atas kesalahan mencuri telefon bimbit.

Jika gagal membayar denda tersebut, dia boleh dipenjara 20 hari sebagai ganti.

Menurut kertas pertuduhan, Aliff, 23 tahun, atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, didakwa mencuri dua telefon bimbit berjenama HTC one dan Samsung Note 1, yang setiap satu bernilai $800.

Telefon itu dimiliki seorang individu bernama Yong Kit Siong.

Aliff dikatakan mencuri telefon bimbit itu bersama seorang lagi lelaki bernama Muhammad Nurazlee Roslee pada atau sekitar 12.01 tengah malam pada 24 Mei lalu di kolong blok Blok 36 Tanglin Halt Road.

Bagi kesalahan mencuri, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali. Aliff didakwa di mahkamah buat kali pertama pada 16 Ogos lalu.

Satu laporan di laman akhbar Berita Harian Malaysia pada 27 Ogos lalu memetik ibu Aliff, Cik S. Hafiza Basharahil, sebagai berkata bahawa anaknya itu berada di Singapura ketika itu dan keadaannya baik-baik sahaja.

Menurutnya, Aliff berada di sini atas urusan peribadi dan akan pulang ke Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

Sebelum itu, dia dikatakan telah menghilangkan diri daripada lokasi penggambaran sebuah drama dan pulang ke Singapura.

Aliff dan pasangan duetnya, Siti Nordiana, yang menyanyikan lagu Tak Ada Cinta Sepertimu, turut dicalonkan untuk kategori Kolaborasi Terbaik (Artis) bagi Anugerah Planet Muzik (APM) 2014 yang akan berlangsung pada 17 Oktober ini.

Menurut satu laporan di laman mStar Online bulan lalu pula, dia ditukil sebagai berkata dia tidak hilang, bersembunyi atau melarikan diri daripada sesiapa atau mempunyai masalah kewangan tetapi sebaliknya hanya berehat daripada industri seni buat sementara bagi menguruskan beberapa hal peribadi.

Dia juga berkata, dia memadamkan semua gambarnya di laman sosial Instagram kerana ingin mulakan hidup baru dan berjanji akan kembali semula dengan ‘Aliff yang baru’.

Menerusi laman Twitter miliknya di bawah nama @aliffaziz pula, artis muda itu memuat naik status kelmarin dengan berkata: “Selamat tengah hari dunia. Saya akan kembali tidak lama lagi. Tidak lama lagi.”

Sumber: http://beritaharian.sg/setempat/aliff-aziz-curi-telefon-bimbit-didenda-2000#sthash.bpRq5vrm.dpuf

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *