AMALAN memetik gambar secara sendiri atau ‘selfie’ semasa menunaikan ibadah haji tidak banyak berbeza daripada amalan terdahulu apabila jemaah meminta orang lain mengambil gambar dengan kamera semasa mereka di Masjidil Haram atau Masjid Nabawi, kata Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram.
Namun amalan itu boleh berubah menjadi tidak baik sekiranya niat jemaah itu hanya untuk menunjuk-menunjuk atau tindakan jemaah mengambil ‘selfie’ mengganggu kekhusyukan ibadah orang lain.
“Saya rasa ‘selfie’ seperti apa sahaja perbuatan yang dilakukan seorang insan adalah bergantung kepada tujuan, cara dan kesan.
“Sesuatu benda yang baik asalnya boleh berubah menjadi tidak baik. Mungkin kerana tujuannya tidak betul, atau pun tujuannya betul, caranya tidak betul. Ataupun tujuan betul, cara tidak kena. Ataupun tujuan betul tetapi caranya tidak mengambil kira kesannya yang akan berlaku selepas itu.
“Begitu juga dengan ‘selfie’. Bagi saya sebagai seorang manusia, dari segi teknikalnya ia tiada beza dengan kita ambil gambar (dengan kamera), kita minta orang lain petikan. Pada waktu itu belum ada selfie stick. Belum ada monopad.
“Malah di Masjidil Haram selama ini, kita biasa lihat orang lain ambil gambar, sahaja tidak boleh ambil gambar sendiri,” kata Dr Fatris sewaktu dialog sempena Peraduan Esei Cabaran Mufti 2014, kelmarin.
Demam ‘selfie’ yang “menjangkiti” jemaah dan pengunjung Masjidil Haram dan Masjid Nabawi sebelum ini mengundang kontroversi.
Ulama terkenal dari Jeddah, Sheikh Abdul Razzaq Al-Badr, menasihatkan jemaah haji agar tidak melakukan ‘selfie’ semasa sedang beribadah, sebaliknya menunaikan segala manasik haji dengan sempurna.
Katanya, Allah memerintahkan jemaah haji supaya menunaikan ibadah tanpa riak dan tidak menghebahkan kepada orang ramai.
Menjelaskan lebih lanjut, Dr Fatris berkata:
“Terpulang kepada niatnya. Jika niatnya untuk menunjuk-menunjuk… Wah! Orang kampung tengok, orang Choa Chu Kang tengok kita pergi haji buat ibadah. Boleh rosak amalan itu. Dan jika kita buat amalan itu hingga mengganggu kekhusyukkkan ibadah orang lain, berlebihan, ia tidak wajar.
“Jika niat tak ada masalah, kita buat cara yang betul, tetapi kita tidak memikirkan kesannya kepada orang lain. Perbuatan itu menjadi percakapan. Orang boleh timbulkan isu itu daripada gambar yang diambil jika kita tidak hati-hati.
“Bagi saya, dari segi hukum, bergantung tiga faktor dalam apa-apa juga isu – Tujuan. Cara. Kesan.
“Benda yang baik insya-Allah tidak akan berubah menjadi benda yang tidak baik tetapi kita perlu berhati-hati,” jelas Dr Fatris lagi.
Source: beritaharian.sg/setempat