Peniaga Julia Idris Akui Kesilapan Dulu

BAK luka lama berdarah semula.

Inilah yang dirasakan beberapa pembaca yang mendakwa menjadi ‘mangsa’ Cik Julia Idris apabila berita mengenai kehidupan baru beliau dilaporkan di Berita Harian (BH) baru-baru ini.

Pemilik onecupcakeaday itu dicemuh hebat di laman web BH menyusuli laporan berita mengenai perniagaan barunya yang menjual kek cawan unik.

Sekitar tiga tahun lalu, beliau pernah mengendalikan perniagaan dalam talian, shoogarush, yang menyediakan khidmat hiasan pencuci mulut.

Ketika itu beliau mengambil pesanan awal bagi alat perkakas dapur yang dibeli dari China.

Namun, separuh daripada barang yang dipesannya tidak tiba tetapi wang pelanggan telah pun diambil.

Cik Julia dikatakan tidak mengembalikan wang pelanggan menyebabkan ‘mangsa’ cuba menjejaknya sepanjang tiga tahun lalu.

Seorang yang mengaku ‘mangsa’ yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Siti, 35 tahun, berkata sehingga hari ini, Cik Julia masih berhutang sebanyak $3,000 yang belum dilangsaikannya.

“Sekitar 2012, saya memesan mesin pembancuh Kitchen Aid berharga sekitar $400 setiap satu.

“Saya mengumpul pesanan daripada 10 teman saya. Saya telah membayar sekitar $4,000 kepadanya.

“Sejauh ini, beliau hanya bayar sekitar $1,000 sahaja. Baki $3,000 masih tertunggak sehingga hari ini.

“Beliau janji akan bayar tetapi dalam bentuk ansuran bulanan. Namun, beliau asyik hilangkan diri sehingga penat saya jejak dia,” jelas Cik Siti yang masih marah ketika dihubungi semalam.

Cik Siti berkata beliau terpaksa mengeluarkan wang sendiri bagi membayar teman-temannya.

Malah, beliau mendakwa terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika memandu kerana fikirannya kusut memikirkan nasib yang menimpanya.

Apabila diminta komen, Cik Julia mengaku telah membuat kesilapan sebelum ini.

Namun, beliau menjelaskan bahawa beliau sendiri menjadi mangsa pembekalnya.

“Separuh daripada barang yang saya pesan tidak tiba. Saya sendiri rasa serba salah. Saya mahu membayar wang mereka balik.

“Tetapi buat masa ini saya belum mampu membayar balik. Perniagaan kek cawan yang saya buat secara kecil-kecilan ini juga saya harap dapat digunakan bagi membayar balik wang mereka yang terbabit,” ujarnya.

Menurutnya, beliau masih berhutang dengan enam lagi bekas pelanggannya – secara keseluruhannya berjumlah sekitar $8,000.

Cik Julia, yang sebelum ini pernah menyertai acara sampingan Pesta Raya di Esplanade Teater Di Pesisiran tahun ini dengan menjual kek cawannya, juga berkata akibat cemuhan teruk di laman media sosial itu, pihak pengurusan kantin tempat beliau mengendalikan gerai menjual snek telah memutuskan tidak meneruskan lagi kontraknya tahun depan.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *