NAMANYA amat terkenal dalam industri hiburan setempat selaku seorang cef.
Sejak 2007 Encik Shahrizal Salleh atau lebih dikenali sebagai Cef Bob, telah berkecimpung dalam rancangan-rancangan masakan setempat.
Beliau bukan sekadar mengacarakan rancangan masakan, malah statusnya sebagai cef selebriti sering membuatnya terpilih sebagai anggota juri bagi pertandingan masakan.
Biarpun rambutnya hampir tiada, tubuh berisi dan pipinya tembam, perwatakan Encik Shahrizal yang lucu, ramah dan sering mengukir senyuman menjadikannya calon yang sesuai untuk tampil dalam banyak rancangan televisyen.
Yang terbaru ialah beliau telah mengadili rancangan King Juara Memasak bersama seorang lagi cef setempat, Encik Amri Abdul Azim. Rancangan ini disiarkan setiap Selasa di saluran Suria.
Namun, di sebalik keriangan yang sering terpancar di wajahnya, terselit kebimbangan yang membelenggu dirinya sejak kebelakangan ini.
“Sejak beberapa bulan lalu restoran milik saya selama tujuh tahun di Simpang Bedok telah ditutup.
“Ini selepas perniagaan saya terjejas – daripada sudut masakan dan khidmat layanannya – akibat kesukaran mendapatkan tenaga kerja.
“Kini, saya bimbang kerana saya masih ada hutang rumah dan kereta, selain baru menimang cahaya mata yang perlukan tanggungan saya,” kata Encik Shahrizal, 34 tahun, yang pernah tampil dalam rancangan kanak-kanak Mat Yoyo pada 1980-an.
Beliau berkongsi kisah kehidupannya semasa ditemui di flat lima biliknya di Pasir Ris Drive 10.
Menurut Encik Shahrizal, beliau kini menghabiskan lebih banyak masa di rumah di samping isterinya, Cik Kamisah Khamis, 36 tahun, serta anak mereka, Umar, tiga bulan.
Jika dahulu beliau lebih banyak menyediakan hidangan di restoran atau mengongsi masakannya dengan penonton televisyen, kini Encik Shahrizal lebih banyak menyediakan masakan untuk keluarga.
“Terus terang sebagai cef, kami tidak begitu gemar memasak di rumah kerana perlu bersihkan sendiri perkakas selepas memasak.
“Ini berbeza dengan memasak di hotel atau dalam rancangan televisyen di mana ada yang bersihkan selepas kami memasak.
“Memandangkan saya lebih banyak menghabiskan masa di rumah, jadi saya akan sediakan hidangan, tapi masakan yang senang-senang saja. Selepas memasak, biasanya isteri saya yang bersihkan,” katanya berseloroh.
Kini, selain bergantung kepada program televisyen yang melibatkan dirinya, Encik Shahrizal juga memberi khidmat konsultasi berkaitan masakan bagi menampung pendapatannya.
Beliau juga sedang giat memperhalusi modul-modul bagi kursus memasak yang telah pun beliau mulakan sejak kebelakangan ini.
“Saya reda dengan apa yang sedang saya lalui kini. Mungkin ada hikmahnya. Ia bak satu ujian buat saya kerana saya yakin sesuatu bakal menanti saya tidak lama lagi,” katanya, yang menutup perniagaannya pada bulan Ramadan lalu.
Menurut Encik Shahrizal lagi, keputusan menutup perniagaannya itu dibuat sekembalinya beliau daripada menunaikan umrah. Mujur isterinya, yang kini sedang menjalani cuti bersalin, masih bekerja sebagai pakar terapi pergigian.
Cik Kamisah, yang merupakan pemain bola jaring sebuah kelab setempat dan juga sering menyertai acara maraton, akan kembali bekerja selepas cuti bersalinnya itu berakhir pada bulan ini.
Mungkin benar apa yang dikatakan Encik Shahrizal.
Di sebalik cabaran yang sedang ditempuhinya kini tampak hikmahnya.
Jika dahulu beliau menganggap dirinya sebagai seorang yang gemar berpesta dan ‘lupa’ tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim, kini sebaliknya pula berlaku pada dirinya.
“Dulu saya leka dengan hal-hal duniawi dan suka berpesta. Saya hanya solat dua kali setahun… tak pernah mengaji dan hanya berpuasa pada hari pertama dan terakhir Ramadan,” dedah anak bongsu empat beradik itu secara terbuka.
Air matanya mula berlinangan tatkala menceritakan kisah-kisah lamanya yang dianggap ‘tanpa arah tuju’ dan ‘lupa diri’.
Kisahnya itu turut dimuatkan dalam sebuah video terbitan Jaringan Pendidikan Islam Swasta (PIENet) dengan sokongan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam usaha menarik lebih ramai belia agar mendapatkan pendidikan Islam seawal mungkin.
Antara kandungan video selama empat minit 45 saat itu terselit kisah amalan seorang bekas pekerjanya yang baru berusia 14 tahun yang mendirikan solat lima waktu sehari – seolah-olah memberi kesan rohani kepadanya.
Sambil memandang wajah isteri tersayangnya dan anaknya yang comel, beliau menarik nafas panjang sambil berkata:
“Saya berjanji akan menjadi suami dan bapa yang lebih baik dalam usaha membimbing isteri dan membesarkan anak saya menjadi Muslim yang sempurna, insya-Allah.”
“Saya reda dengan apa yang sedang saya lalui kini. Mungkin ada hikmahnya. Ia bak satu ujian buat saya kerana saya yakin sesuatu bakal menanti saya tidak lama lagi… Saya berjanji akan menjadi suami dan bapa yang lebih baik dalam usaha membimbing isteri dan membesarkan anak saya menjadi Muslim yang sempurna, insya-Allah.”
– Encik Shahrizal Salleh yang lebih dikenali sebagai Cef Bob
Source: http://beritaharian.sg