Perbankan Islam Tumbuh Pantas Tetapi Masih Boleh Diperluas

BANK Islam tumbuh lebih pantas daripada bank konvensional tetapi ia terlalu tertumpu dalam beberapa negara utama sehingga terlepas peluang membangunkan sektor perbankan Islam sejagat, menurut satu laporan firma runding cara sejagat, Ernst & Young.

Bank Islam di enam negara utama iaitu Qatar, Indonesia, Arab Saudi, Malaysia, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Turkey menguasai AS$625 bilion ($812 bilion) sehingga akhir tahun lalu atau 80 peratus daripada pasaran kewangan Islam sejagat.

Jika mengambil kira Bahrain, Pakistan dan Kuwait, perkongsian pasaran mencecah 95 peratus.

Laporan itu menganggarkan aset perbankan Islam dalam enam negara utama dijangka mencapai AS$1.8 trilion menjelang 2019.

Ia tumbuh 1.9 kali lebih pantas daripada bank konvensional dari 2009 hingga 2013.

“Apabila Turkey dan Malaysia meningkatkan lagi rentak pertumbuhan dan bank-bank Saudi meneruskan rombakan bagi banknya agar mematuhi syariah, kami jangkakan perkongsian pasaran negara-negara utama itu akan mencapai 80 hingga 90 peratus daripada pasaran sejagat,” kata rakan kongsi Pusat Kecemerlangan Perbankan Islam Sejagat Ernst & Young, Encik Ashar Nazim.

Beliau menambah bahawa industri juga akan meraih manfaat apabila lebih banyak negara seperti Mesir, Pakistan, negara-negara Afrika Utara seperti Tunisia, Algeria dan Maghribi menembusi sektor itu.

“Namun, tanpa rombakan undang-undang dan sokongan pemerintah yang kukuh, rentak pertumbuhan industri perbankan Islam dijangka sederhana,” tambah Encik Ashar.

Kekurangan pakar dan kurangnya kesediaan meneroka pasaran luar negara juga boleh menjejas pertumbuhan industri itu di samping menyekat pertumbuhan keuntungan bank Islam.

Secara purata, pulangan terhadap ekuiti (ROE) bagi 20 bank Islam terbaik di dunia adalah 11.9 peratus bagi tempoh lima tahun sehingga 2013.

Ini berbanding pulangan terhadap ekuiti sebanyak 14.5 peratus bagi 20 bank konvensional, tambah laporan itu.

Bank Islam mempunyai saiz satu perempat daripada saiz bank konvensional.

Walaupun Singapura tidak mempunyai penduduk Muslim sebagai penduduk majoriti, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) berkata potensi pertumbuhan bagi kewangan Islam di Singapura amat kukuh, dengan lebih banyak bank luar negara menawarkan produk mereka.

Penolong Pengarah Urusan MAS, Encik Ng Nam Sin, sebelum ini berkata MAS komited mengembangkan “sektor penting ini”.

Malah, dengan permintaan daripada masyarakat Islam dan pelabur bukan Islam, kewangan Islam kini sama menonjol sejajar dengan khidmat kewangan konvensional.

Beberapa bank Timur Tengah pula, seperti Qatar National Bank, bank terbesar di rantau itu, difahamkan berminat mengembangkan khidmat kewangan Islam di sini.

“Potensi pertumbuhan bagi kewangan Islam di Singapura kukuh dan MAS komited mengembangkan sektor penting ini dalam industri khidmat kewangan,” ujar Encik Ng.

Beliau menambah bahawa matlamat MAS ialah menggembleng kekuatannya dalam perbankan borong, pengurusan aset dan pasaran modal bagi mengembangkan kewangan Islam.

Menurutnya, pendekatan serampang tiga mata dilaksana MAS bagi mengembangkan industri itu di sini.

Pertama, ia memastikan medan permainan sama rata bagi kewangan Islam dan kewangan konvensional.

Kedua, ia akan juga mempromosikan pembangunan bakat karyawan kewangan Islam di sini.

Ketiga, MAS akan turut serta dalam memupuk piawaian antarabangsa bagi industri itu dengan menjadi anggota majlis Lembaga Khidmat Kewangan Islam (IFSB).

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *