IS Raih Untung Jual Organ Manusia Untuk Biayai Aktiviti Keganasan

DAMSYIK: Kumpulan militan Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS) dipercayai meraih keuntungan besar dengan menjual organ manusia dengan hasilnya digunakan bagi membiayai aktiviti keganasan di seluruh Timur Tengah.

Kumpulan itu dikesan mendapatkan dana sehingga AS$2 juta ($2.63 juta) setahun daripada pelbagai sumber, termasuk pengeluaran minyak, pemerdagangan manusia dan penyeludupan dadah.

Namun, sejak beberapa bulan lalu militan ISIS menggunakan khidmat doktor asing bagi mengeluarkan organ manusia – bukan saja daripada anggota mereka yang mati, malah daripada tawanan hidup, termasuk kanak-kanak dari seluruh Iraq dan Syria.

Difahamkan, organ juga diambil daripada militan yang terkorban, mangsa cedera yang ditinggalkan atau individu yang diculik.

Perkara itu didedahkan portal berita al-Monitor yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Sumber portal itu dikenal pasti sebagai pakar telinga, hidung dan tekak, Encik Siruwan al-Mosuli.

Menurut Encik Siruwan, pegawai kanan ISIS melantik doktor asing bagi menjalankan sistem pemerdagangan organ meluas dari hospital di Mosul yang di bawah pentadbiran ISIS.

Katanya, pulangan perdagangan organ manusia amat menguntungkan.

Disebabkan itu, ISIS menubuhkan bahagian khas bagi mengendalikan penyeludupan organ yang bertanggungjawab menjual jantung, hati dan buah pinggang manusia di pasaran gelap antarabangsa, katanya.

“Saya mengesyaki ada sesuatu tidak kena apabila melihat ramai pakar bedah Arab dan asing diambil bekerja, tetapi dilarang berinteraksi dengan doktor tempatan. Desas-desus kemudian mengatakan mereka terbabit dalam aktiviti penjualan organ.

“Pembedahan dilakukan di dalam hospital sebelum organ diperlukan dipindahkan segera melalui rangkaian pemerdagangan manusia,” kata laporan itu.

Bagaimanapun, maklumat mengenai penjualan organ akhirnya bocor, lapor Press TV.

Assyrian International News Agency pula melaporkan, kebanyakan organ diseludup keluar dari Syria dan Iraq ke negara jiran seperti Arab Saudi atau Turkey untuk dijual kepada kumpulan jenayah yang kemudian mendapatkan pembeli dari seluruh dunia.

Tindakan menjual organ manusia itu merupakan salah satu cara bagi membiayai aktiviti keganasan kumpulan mereka.

Menurutnya lagi, pembedahan dilakukan di hospital dan organ mayat diedarkan segera melalui rangkaian khusus dalam pemerdagangan organ manusia.

 

Source: www.beritaharian.sg

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *