Mufti Mesir Gesa Agar Cari Huraian Yang Adil Dan Elak Gunakan Keganasan

Muslim yang berasa sedih dan terguris akibat penghinaan ke atas Nabi Muhammad saw menyusuli penerbitan karikatur di majalah Charlie Hebdo, diajak mencari huraian yang adil berdasarkan perundangan negara dan mengelak daripada menggunakan keganasan.

Reaksi terbaik bagi umat Islam menangani kejadian sedemikian ialah mencontohi amalan Nabi Muhammad yang membalas setiap keburukan dengan sifat kebaikan.

Demikian pesanan Mufti Besar Mesir Sheikh Dr Shawki Allam di Seminar Asatizah yang berlangsung di Hab Islam di Braddell Road semalam.

Seminar anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) yang dihadiri sekitar 200 peserta itu membawa tajuk Penguasa Agama dan Pembentukan Sebuah Masyarakat Harmoni dalam Dunia Majmuk.

Antara yang hadir di acara itu ialah Ketua Eksekutif Muis, Haji Abdul Razak Hassan Maricar dan Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram.

Di seminar itu, Sheikh Dr Shawki diminta mengulas tentang isu penerbitan karikatur yang menghina Nabi Muhammad saw oleh majalah Charlie Hebdo di Paris dan serangan oleh sekumpulan lelaki bersenjata ke atas pejabat majalah itu yang mengakibatkan 17 nyawa terkorban.

“Kita rasa sedih dan terguris apabila kita mendengar atau melihat penghinaan ke atas Nabi Muhammad saw.

“Namun kita harus mencari huraian yang adil kepada semua menerusi perundangan atau sistem negara,” kata Sheikh Dr Shawki.

Sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab, beliau menekankan individu tidak berhak menjatuhkan hukum dengan sewenang-wenangnya apabila berdepan dengan sesuatu yang tidak menyenangkan atau apabila menyaksikan sesuatu jenayah.

Cara yang lebih berhemah menurut beliau ialah mencontohi amalan Nabi Muhammad saw yang membalas setiap keburukan dengan kebaikan dan cara yang berakhlak.

Terdapat banyak contoh dalam riwayat Nabi yang mempamerkan sifat beliau yang berahlak.

Sheikh Dr Shawki menukil kisah seorang jiran yang selalu membuang najis dan kotoran di hadapan kediaman Nabi Muhammad saw.

“Suatu hari, Nabi Muhammad saw mendapati tiada kotoran yang dibuang di hadapan rumahnya dan beliau diberitahu jiran yang sering mengotori lamannya sedang sakit.

“Nabi Muhammad bersifat mulia dan menziarahi jiran berkenaan,” kata beliau.

Sheikh Dr Shawki berada di sini dalam rangka lawatan empat hari bermula kelmarin di bawah Program Pelawat Unggul (DVP) Muis.

Ini kali pertama ketua agama itu, yang dilantik menjadi Mufti ke-19 Mesir pada 2013, mengunjungi Singapura dan rantau ini.

Sheikh Dr Shawki seorang pemimpin Islam dan ulama yang dihormati dan dikenali kerana dedikasi dan usahanya ke arah keamanan menerusi pemahaman masyarakat yang pelbagai dan berbeza.

Semalam beliau menghadiri jamuan malam bersama pemimpin berbilang agama.

Hari ini beliau dijadualkan bertemu Presiden Tony Tan Keng Yam dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Istana.

Selepas itu beliau akan mengunjungi Pusat Sumber dan Kaunseling, Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) di Masjid Khadijah.

Malam ini pula beliau akan menyampaikan Ceramah Muis di Hotel Orchard.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *