Daniel Nur Hakim Ismail menghidapi sejenis sindrom jangkitan tulang ketika usianya 13 tahun.
Ia menyebabkan Daniel sukar berjalan dan memerlukannya menggunakan kerusi roda hampir sepanjang masa.
Empat bulan sebelum menduduki peperiksaan GCE peringkat ‘A’, pelajar dari Raffles Institution ini dimasukkan ke hospital dan diarahkan berehat selama tiga bulan.
“Ketika itu, kawan-kawan saya datang dan menziarahi saya di hospital dan juga di rumah dan memberi nota-nota yang telah diberi oleh sekolah untuk saya mengulang kaji. Tapi pada waktu itu, saya tidak dapat mengulang kaji banyak pelajaran kerana saya berasa letih disebabkan ubat-ubatan yang diberikan doktor. Sebab itu, saya lakukan sedaya upaya untuk mengulangkaji apa yang saya dapat.”
Namun kesukaran yang dihadapinya waktu itu, tidak pernah melunturkan semangatnya.
Dengan sokongan kedua-dua ibu bapa, Daniel meneruskan niatnya menduduki peperiksaan GCE ‘A’ tahun lepas meskipun dinasihati para guru untuk menangguhkannya.
Ia akhirnya membuahkan hasil apabila keputusan yang diperolehi cukup untuk melayakannya ke universiti.
Daniel ingin menceburi bidang kewangan dan berharap ilmunya itu dapat digunakan untuk kebaikan masyarakat pada suatu masa nanti.
Daniel mengatakan, “Saya percaya, Benjamin Franklin pernah berkata, “Service to humanity is a great aim and end to all learning” dan saya pegang kuat dengan kata-kata itu dan saya percaya perkhidmatan kepada manusia adalah akhir kepada segala pembelajaran.”
Amirul Adli Rosli dari Maktab Rendah Pioneer, menyimpan hasrat serupa.
Cita-citanya – untuk membantu golongan yang memerlukan menerusi kerja-kerja kebajikan.
“Saya mula berminat dalam bidang ini selepas pengalaman saya bersama PPIS di mana saya bekerjasama dengan pekerja-pekerja kebajikan. Daripada situ, saya terdedah dengan kerja itu secara langsung di mana saya mendapat pengalaman-pengalaman dan lebih tahu tentang pekerjaan tersebut,” jelas Amirul
Selain itu, Amirul juga aktif sebagai timbalan presiden Kelab Kebudayaan Melayu di sekolah dan pernah terlibat dalam pelbagai kegiatan di dalam dan luar negara.
Sungguhpun begitu, soal pelajaran tidak pernah sesekali diabaikan.
Amirul memperolehi lima gred A dan merancang untuk melanjutkan pengajiannya dalam jurusan kerja kebajikan.
Source: http://berita.mediacorp.sg