Pertubuhan Antara Agama (IRO) semalam menyanjung jasa Imam Masjid Ba’alwie, Habib Hassan Al-Attas, dalam memperjuangkan keharmonian agama dan kaum di Singapura.
Habib Hassan, 64 tahun, diberi Anugerah IRO bagi khidmatnya kepada pertubuhan itu sebagai anggota veterannya.
Anugerah itu disampaikan dalam majlis sambutan ulang tahun IRO ke-66 dan sempena ulang tahun Singapura ke-50 (SG50) tahun ini.
Semasa ditemui dalam acara itu, Habib Hassan berkata beliau terperanjat menerima anugerah tersebut kerana IRO merahsiakan pemberian anugerah itu kepadanya.
“Saya fikir ramai lagi yang juga berjasa untuk membina keharmonian kaum dan agama di Singapura.
“Kita perlu terus ambil berat terhadap usaha memelihara keharmonian kaum kerana keamanan dan kebaikan tidak akan terjamin tanpa usaha tersebut,” ujar Habib Hassan.
Majlis itu dihadiri Presiden Tony Tan Keng Yam selaku tetamu terhormat. Ia dihos Perdana Menteri Lee Hsien Loong.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean, yang juga Menteri Penyelaras Keselamatan Negara dan Menteri Ehwal Dalam Negeri.
Di bawah pimpinan Habib Hassan, Masjid Ba’alwie antara masjid yang cergas dalam kegiatan persefahaman antara agama.
Dari masa ke masa, masjid itu menerima kunjungan pemimpin agama lain di dalam dan luar negara.
Habib Hassan juga sering diundang menjelaskan kedudukan Islam dalam pelbagai isu semasa.
Malah, banyak ceramah dan tulisan Habib Hassan dalam bahasa Inggeris atau yang diterjemahkan kepada bahasa Inggeris dimanfaatkan oleh masyarakat bukan Muslim.
Habib Hassan menjadi imam Masjid Ba’alwie dari 1976, selepas pemergian ayahnya, Allahyarham Habib Muhammad Salim Al-Attas, pengasas dan imam pertama masjid tersebut.
Masjid Ba’alwie di Lewis Road, dekat Bukit Timah Road, diasaskan Allahyarham Habib Muhammad Salim pada 1952.
Sementara itu, presiden IRO, Encik Gurmit Singh, berkata Habib Hassan wajar dan layak menerima anugerah itu.
“Beliau bersikap terbuka menerima sesiapa sahaja ke masjidnya. Beliau juga terbuka dari segi idea dan sedia membincangkan pelbagai isu,” ujarnya.
Pengerusi Persekutuan Tao Singapura, Encik Tan Thian Lye, pula berkata Habib Hassan telah memberi sumbangan besar kepada IRO dan memupuk keharmonian antara kaum di Singapura.
“Sikap ramahnya membantu memupuk jalinan mesra antara pemimpin pelbagai agama dan beliau sering berusaha mengekalkan jalinan itu,” ujarnya.
Antara penerima Anugerah IRO sebelum ini ialah mantan presiden Persekutuan Seruan Islam Singapura (Jamiyah), Allahyarham Haji Abu Bakar Maidin, dan mantan mufti, Shaikh Syed Isa Mohd Semait.
Source: http://beritaharian.sg