Lelaki yang memandu melepasi Pusat Pemeriksaan Tuas tanpa mengikut arahan untuk pemeriksaan lanjut, menghadapi tiga lagi tuduhan di mahkamah.
Mohamed Dawood R M Abdul Sukkur, 47 tahun, dikenakan dua tuduhan tidak mempunyai lesen untuk membawa masuk barangan makanan dalam kereta BMW hitam miliknya, oleh Penguasa Makanan Pertanian dan Ternakan (AVA).
Dawood dituduh mengimport 145 kotak kuih-muih dan pastri kira-kira 200 kilogram dan empat botol minuman jagung sekitar 1 kilogram dari Malaysia.
Dia juga dituduh mengimport 105 paket kepingan daging burger Ramly seberat 37.8 kilogram.
Polis mengenakan satu lagi tuduhan ke atas Dawood, iaitu membuang kepingan-kepingan daging burger itu ke dalam longkang di Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) menuju ke Lapangan Terbang Changi, untuk menghapuskan bukti dia melanggar undang-undang.
Tertuduh kini menghadapi empat tuduhan kesemuanya.
Jika sabit kesalahan, Dawood boleh dipenjara hingga dua tahun, didenda hingga $50,000 atau kedua-duanya sekali kerana mengimport produk daging tanpa lesen.
Atas kesalahan membawa masuk kuih tanpa lesen pula, Dawood boleh didenda hingga $1,000. Dan jika didapati bersalah membuang kepingan-kepingan burger itu dan menghapuskan bukti, Dawood boleh dipenjara hingga tujuh tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Kesnya akan didengar lagi pada 5 Ogos, 10.00 pagi, sementara menunggu tuduhan-tuduhan lain oleh Kastam Singapura.
DIDAKWA PANDU KERETA PADA KELAJUAN 142 KM SEJAM
Dawood sebelum ini dikenakan tuduhan bertindak melulu, yang boleh membahayakan nyawa manusia atau keselamatan diri orang lain.
Ini setelah dia didakwa memandu sebuah kereta BMW hitam pada kelajuan 142 kilometer sejam dalam kawasan pusat pemeriksaan keselamatan, yang terbatas dengan had kelajuan 15 kilometer sejam.
Jika sabit kesalahan, Dawood boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, denda $2,500, atau kedua-duanya sekali.
Pada 23 Jun, Dawood memandu kereta siri tujuh BMW melepasi pusat pemeriksaan dari Malaysia ke Singapura apabila pegawai imigresen mengarahkan dia ke kawasan pemeriksaan yang ditetapkan, untuk pemeriksaan lanjut.
Dia sebelum ini sudahpun keluar dari imigresen dan memandu ke saluran merah kastam untuk mengisytiharkan produk makanan yang dibawa masuk dari Malaysia.
Semasa pemeriksaan, para pegawai mendapati beberapa percanggahan dalam jumlah makanan yang diisytiharkan. Tetapi dia tidak berhenti di kawasan pemeriksaan untuk pemeriksaan lanjut, sebaliknya memandu lalu.
Polis menjumpai keretanya di Pioneer Road North selepas pukul 2.00 petang dan Dawood kemudiannya ditangkap.
Source: http://berita.mediacorp.sg