Saktiandi Supaat Ingin Terus Sumbang Kepada Negara

Encik Saktiandi Supaat menyandang dua jawatan di Maybank sebagai naib presiden eksekutif dan ketua kajian mata wang asing.

Sebelum itu beliau bertugas sebagai ahli perbendaharaan ekonomi kanan di United Overseas Bank (UOB) dan ahli ekonomi Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Sejak 2004 beliau giat dalam sayap belia Angkatan Karyawan Islam (AMP) dan mengetuai sayap itu pada 2010 hingga 2013.

Selanjutnya, beliau berkhidmat sebagai anggota Lembaga AMP.

Beliau juga pengerusi jawatankuasa memandu Skim Dana Kepimpinan dan Kemajuan (Labs), Forum Pemimpin Masyarakat (CLF) yang menawarkan dana kepada projek keusahawanan sosial yang dikendalikan golongan belia.

Berikut sedutan wawancara bersama beliau:

Apakah isu Melayu/Islam yang bakal menjadi tumpuan anda?

Pertama, dari segi pekerjaan terutama dalam kalangan anak muda, umpamanya daripada aliran Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan diploma.

Adakah mereka boleh dapat pekerjaan selepas tamat sekolah? Jika boleh, bagaimana pula hendak pertingkat keupayaan mereka dengan lebih lanjut? Ada perkembangan dalam bahagian ini… dan cabarannya adalah sama ada keadaan boleh diperkasa sementara mengekalkan teras warga Singapura dalam pekerjaan.

Kedua, mungkin dari segi keluarga. Saya lihat dalam kalangan keluarga rentan, yang mempunyai sumber pencarian tunggal dan perlu menyara hidup anak-anak muda.

Golongan ibu tunggal dengan anak-anak muda juga mencetus keprihatinan, terutama dari segi pendidikan anak-anak mereka, supaya tidak ketinggalan di masa depan.

Isu ini tidak begitu berbeza daripada isu di peringkat nasional.

Mengapakah anda memilih menceburi politik?

Saya telah menceburi kerja kemasyarakatan sejak 2004. Saya mula berkhidmat dengan pertubuhan bantu diri daripada peringkat belia ke usaha sosial dan bagi masyarakat Melayu/Islam menerusi Mendaki dan Labs CLF, sebelum berkhidmat di peringkat nasional menerusi Spring dan Kolej Perkhidmatan Awam.

Menerusi khidmat saya, saya menemui golongan yang terlepas menerima bantuan dan saya yakin dapat menyumbang lebih lanjut dengan melibatkan diri dalam dasar bagi isu-isu tertentu.

Penglibatan saya dalam politik bukan satu peralihan semula jadi, tetapi saya mulai sedar (menerusi penglibatan di peringkat akar umbi) bahawa ada warga yang menghadapi isu harian dan memerlukan bantuan.

Bagaimana pengalaman anda dalam sektor swasta boleh membantu dalam arena politik?

Saya pernah bertugas sebagai ahli ekonomi dan boleh berkongsi perspektif swasta bagi perkembangan global. Saya kerap ke luar negara dan memahami persaingan yang diwakili rakan serantau dan beberapa isu yang dihadapi Singapura dalam usaha melangkah ke hadapan. Antara lain, saya berharap dapat menggunakan sedikit kemahiran yang ada bagi mencorak beberapa isu dasar awam.

Adakah anda bersedia mengimbangi masa antara tuntutan kerjaya dengan tanggungjawab kepada warga sebagai seorang anggota parlimen (jika dipilih)?

Sebenarnya, saya sedang menguruskan masa dari segi kerjaya dan kerja di peringkat akar umbi. Jumlah kerja yang telah saya laksanakan dalam tempoh dua tahun ini adalah penting dan sejauh ini saya mampu mengimbangi tuntutan ini.

Apakah mesej anda kepada warga Melayu/Islam Singapura

Kemajuan yang ditunjukkan masyarakat Melayu/Islam setempat amat ketara dalam tempoh 50 tahun yang lalu.

Selanjutnya, sebagai sebuah masyarakat, kita perlu memberi tumpuan memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi Singapura bagi tempoh 50 tahun mendatang.

Saya rasa amat positif masyarakat Melayu/Islam setempat mampu memberi sumbangan yang amat besar kepada Singapura pada masa akan datang, dari segi pendidikan, pekerjaan, sumbangan sukarelawan… itu amat ketara.


SAKTIANDI SUPAAT

Nama: Saktiandi Supaat

Usia: 41 tahun

Tempat lahir: Singapura

Keluarga: Sudah berumah tangga dan mempunyai tiga anak berusia lima, lapan dan 12 tahun

Agama: Islam

Hobi: Fotografi, membaca dan ragbi

Pendidikan: Sarjana Muda (Kepujian) Perdagangan, Universiti Melbourne (1998), dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Universiti Cambridge (2007-2008)

Pekerjaan: Naib Presiden Eksekutif, Ketua FX Research, Maybank


“Sesiapa sahaja yang dicalonkan oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) adalah mereka yang telah ‘dicuba’ (diuji) untuk melihat kebolehan mereka di lapangan dan juga bagi menunjukkan kebolehan mereka – daripada apa yang mereka dapat sumbang kepada masyarakat dan juga kepada negara. Jadi yang penting bukan siapa yang dicalonkan tapi apa yang dibawa oleh mereka (yang dicalonkan) yang menjadi harapan rakyat semua dan juga masyarakat kita.”

– Menteri Kedua Ehwal Luar merangkap Dalam Negeri, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Encik Saktiandi, yang lebih selesa dengan panggilan ‘Andi’, berkata jika diberi peluang berkhidmat, beliau mahu menumpukan perhatian pada keperluan harian penduduk, termasuk golongan warga emas, yang membentuk lebih separuh penduduk di sana.

Menyentuh tentang khidmat kepada masyarakat Melayu/Islam, beliau berkata isu pekerjaan bagi lulusan diploma dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) antara perkara yang menjadi tumpuannya.

Beliau, yang pernah tinggal di Kampong Tempeh dekat Sixth Avenue di Bukit Timah, juga bangga dengan pencapaian negara ini daripada negara Dunia Ketiga kepada negara maju dalam tempoh singkat.

“Saya menyaksikan sendiri Singapura berkembang daripada kampung dan sehingga kami berpindah ke HDB. Perkembangan Singapura, dalam memberi saya pendidikan baik, pelantaran baik bagi membina hidup keluarga baik, sesuatu yang saya hargai.

“Saya ingin terus memberi sumbangan kepada perkembangan Singapura selanjutnya, supaya generasi masa depan, termasuk anak-anak saya, dapat menyaksikan kemajuan dan perkembangan Singapura dalam tempoh 50 tahun mendatang,” kata beliau.

Encik Saktiandi mendapat pendidikan di Raffles Institution dan Maktab Rendah Catholic.

Beliau berkelulusan sarjana muda perdagangan dari Universiti Melbourne di Australia dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Cambridge di Britain.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *