Mohammad Alami Musa Ditabal Sebagai Jauhari Masyarakat Melayu Islam

KEPIMPINANNYA menyerlah sedang masyarakat Melayu/Islam berdepan dengan masa-masa mencabar.

Beliau mempelopori konsep Identiti Muslim Singapura (SMI) bagi menegakkan hakikat bahawa seorang Muslim itu boleh mengamalkan agamanya dengan taat sambil menjadi rakyat yang setia.

Usaha beliau itu menegaskan, tiada konflik antara kehidupan yang dipenuhi nilai-nilai keislaman dengan kehidupan dalam negara sekular lagi moden.

Hasil kepimpinannya itu, dan dedikasinya berbakti kepada masyarakat sejak di bangku sekolah lagi, Encik Mohammad Alami Musa ditabal Jauhari masyarakat Melayu/Islam tahun ini.

Anugerah yang disampaikan Berita Harian kepada individu atau pertubuhan Melayu/Islam itu juga mengiktiraf pencapaian cemerlang penerima dalam bidang masing-masing.

Encik Mohammad Alami menerima anugerah berprestij itu daripada Timbalan Perdana Menteri, Encik Tharman Shanmugaratnam, dalam satu majlis penuh gah di Pusat Konvensyen Raffles City malam tadi.

Mengulas mengenai pemilihan penerima Anugerah Jauhari itu, Editor Berita Harian/Minggu, Encik Saat Abdul Rahman, berkata:

“Jauhari tahun ini istimewa kerana kejayaan yang dicapai Encik Mohammad Alami juga mencerminkan sumbangan dan usaha masyarakat Islam bersepadu dalam negara yang serba moden dan sekular ini.”

Selain SMI, antara legasi Encik Mohammad Alami termasuk sumbangannya menggalak perpaduan silang agama, semasa menerajui Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) selaku Presiden eksekutif selama sedekad dari 2003 hingga 2013.

Sebagai Ketua Pengajian Program Hubungan Antara Agama Dalam Masyarakat Majmuk (SRP) di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), kini, beliau berharap dapat meneruskan usahanya memperkukuh keharmonian silang agama.

Majlis malam tadi dihadiri lebih 300 tokoh politik dan perniagaan serta pemimpin masyarakat.

Turut disampaikan semalam ialah Anugerah Jauhari Harapan yang mengiktiraf pencapaian dan potensi individu Melayu/Islam berusia 30 tahun ke bawah.

Penerimanya ialah Cik Amalina Ridzuan, 22 tahun, dan Encik Ahmad Abdurrahman Hanifah Marican, 20 tahun, yang menempa sejarah menjadi bekas pelajar madrasah pertama ditawarkan tempat di Sekolah Perubatan Yong Loo Lin, Universiti Nasional Singapura (NUS), baru-baru ini.

Mereka menerima trofi dan wang tunai $5,000 sumbangan Institut Pembangunan Pengurusan Singapura (MDIS).

Berita Harian turut menyampaikan satu anugerah khas sempena ulang tahun Singapura yang ke-50 (SG50) tahun ini, Anugerah Jauhari Perintis, bagi mengiktiraf sumbangan tiga warga perintis dalam bidang bahasa, seni dan agama – tiga bidang penting bagi pembangunan masyarakat Melayu/Islam setempat.

Penerimanya ialah budayawan dan sasterawan Melayu, Dr Muhammad Ariff Ahmad; mantan Mufti, Sheikh Syed Isa Semait; dan pelukis batik tersohor, Encik Sarkasi Said.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *