Masagos Zulkifli: Sifat Toleransi Antara 3 Isu Yang Harus Ditekankan Pemimpin Melayu/Islam

Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua Ehwal Luar dan Dalam Negeri, Masagos Zulkifli berkata beliau akan terus memberi tumpuan untuk memenuhi kepentingan budaya dan agama para penduduk.

Beliau juga yakin para penduduk Melayu/Islam akan memilih kepimpinan yang dapat menyatukan serta memajukan masyarakat dengan negara.

Semasa sidang media bagi mengumumkan barisan calon PAP untuk GRC Tampines hari ini (22 Ogos), Encik Masagos turut berkongsi tiga isu yang perlu diberi penekanan oleh para pemimpin Melayu/Islam.

KEKALKAN SIFAT TOLERANSI DI KALANGAN MASYARAKAT MELAYU/ISLAM

Pertama – bagaimana untuk mengekalkan sifat toleransi di kalangan masyarakat Melayu/Islam supaya tidak mudah terhasut dengan anasir yang boleh menggoyahkan perpaduan masyarakat setempat.

Menurutnya, konteks kehidupan di Singapura begitu unik di mana kepentingan kaum minoriti tidak diketepikan.

Maka itu, beliau menggesa agar sifat toleransi dan kesederhanaan terus diwujudkan dalam masyarakat Melayu/Islam supaya kepentingan bersama dapat dijaga.

“Kita harus terus mewujudkan sifat toleransi, moderat dalam menghadapi segala isu yang cuba ditimbulkan untuk menghairahkan masyarakat kita supaya menekankan lagi keistimewaan mereka dari segi agama atau bangsa. Itu baik tapi kita harus ambil kira juga bahawa kita hidup dengan warga yang lain dan perlu menjaga kepentingan negara bersama,” katanya.

Dua isu lain yang diutarakan adalah – usaha memastikan golongan Melayu/Islam yang sudah berjaya terus menyumbang kepada masyarakat, serta mengurangkan lagi kadar jenayah atau masalah dadah di kalangan masyarakat tersebut.

PENDUDUK MELAYU/ISLAM TAMPINES BERI SAMBUTAN BAIK KEPADA PAP

Bila ditanya pula oleh BERITAMediaCorp mengenai sentimen para penduduk Melayu/Islam di Tampines, yang membentuk sekitar 25% bilangan pengundi di GRC Tampines terhadap PAP, Encik Masagos menjawab, sambutan yang diterimanya setakat ini agak memberangsangkan.

“Orang Melayu, mereka selalu mesra. Kalau bertemu dengan pemimpin, siapa saja, mereka membuka pagar dan sering mengajak kami masuk untuk bukan hanya menyampaikan isu-isu perumahan, tapi kadang-kadang, hanya untuk beramah tamah,” katanya.

Mengulas pula mengenai usaha menarik sokongan para penduduk Melayu/Islam di Tampines, Encik Masagos menyuarakan keyakinan terhadap kemampuan masyarakat itu dalam menilai dan memilih barisan pemimpin mereka.

“Saya yakin orang Melayu/Islam itu, mereka tahu kepentingan mereka supaya kepimpinan yang mereka pilih itu dapat menyatukan kami terus progresif bersama negara, tidak melupakan agama dan bangsa,” kata Encik Masagos.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *