‘P Ramlee Singapura’, yang nama sebenarnya Shafiie Hamzah, meninggal dunia malam ini tadi (Rabu) setelah menderita penyakit barah pundi kencing tahap lanjut.
Ini disahkan oleh Persatuan Karyawan Muzik Melayu Singapura (Perkamus) kepada BERITAMediaCorp lewat malam tadi.
Allahyarham, yang popular kerana penampilannya dan gaya rambutnya seiras dengan seniman lagenda Tan Sri P Ramlee, selama ini menghiburkan para penonton dengan gaya dan nyanyiannya yang serupa dengan seniman legenda itu.
Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia sekitar 43 tahun, iaitu hampir serupa dengan usia Tan Sri P Ramlee, yang meninggal dunia pada usia 44 tahun.
Jenazah beliau sudah dibawa pulang ke rumah keluarganya di Tampines dan upacara pengkebumiannya dijadual dilangsungkan selepas solat zohor nanti (Khamis).
Laman Facebook Allahyarham dan isterinya, Eza Belle, dibanjiri dengan ucapan takziah oleh para peminat selepas 10.00 malam tadi.
Allahyarham bersama Sanisah Huri. (Gambar: P Ramlee Singapura/Facebook)
Salah seorang peminatnya menyifatkan Allahyarham begini: “Arwahnya seorang yang sangat peramah dan merendah diri”.
Pengguna Facebook, Khairul A Aron, menulis: ” Semoga rohnya diadakan dalam golongan yang beriman. Antara penghibur yang terbaik. Salute to you bro. Saya masih ingat lagi semasa Allahyarham membuat persembahan, beliau melihat saya dari jauh dan beliau melambai pada saya.”
Pada bulan Julai dan Ogos beliau banyak membuat persembahan sempena Lebaran.
Antaranya membuat persembahan di acara Nostalgia Aidilfitri di Pasir Ris pada 2 Ogos di acara yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean dan para anggota parlimen serta muka baru politik bagi GRC Pasir Ris-Punggol.
(Gambar: Facebook/P Ramlee Singapura)
P Ramlee Singapura itu dipercayai kali terakhir membuat persembahan pada 16 Ogos, jika akaun Facebook P Ramlee Singapura dijadikan sandaran, di mana beliau menyanyi sambil duduk di atas kerusi.
Allahyarham kali terakhir aktif di laman Facebooknya sendiri pada 7 Ogos lalu, di mana beliau memuat naik gambar poster acara sambutan Aidilfitri ‘Lambaian Aidilfitri 2015’ di Padang Mega Sembawang.
Poster itu menyatakan Allahyarham, isterinya Eza Belle dan artis lain Zainal Ihim, Dahlia dan Hetty Sarlene akan membuat penampilan di acara yang diadakan pada 16 Ogos itu, dan dihadiri Menteri K Shanmugam.
Pengguna Facebook, Dahlia SenSasi turut memuat naik beberapa gambar Allahyarham yang kelihatan bernyanyi sambil duduk dengan tongkatnya di acara tersebut.
(Gambar: Facebook/Dahlia SenSasi)
Tulisan terakhir oleh Allahyarham sendiri di laman Facebooknya adalah pada 6 Ogos lalu. Allahyarham memuat naik beberapa gambar beliau membuat persembahan di Punggol North Hardcourt sempena menyambut Punggol North Community Concert 2015 Cum Arts Festival.
“Assalamu’alaikum dan salam sejahtera buat kawan-kawan Abg Ramlee yg tersayang. Bergambar dengan Menteri Ms Penny Low ;)),” ujarnya.
Pada 8 Mei lalu, Allahyarham memuat naik gambar surat daripada Pusat Barah Kebangsaan Singapura yang mengesahkan penyakitnya itu, sambil menulis beliau tidak lagi dibenarkan bekerja.
Surat doktor itu bertarikh 28 Januari 2015 itu menyatakan penyakit barah yang dihidapinya itu tidak dapat disembuhkan dan beliau kini menjalani rawatan kemoterapi menerusi titisan intravena setiap minggu yang memberi kesan sampingan yang besar, justeru Allahyarham tidak lagi dapat bekerja.
P Ramlee Singapura, Shafiie Hamzah di SGH pada 17 Julai. (Gambar: Facebook/P Ramlee Singapura)
Pada 17 Julai lalu pula, Allahyarham menulis di Facebook bahawa beliau hampir dua minggu dirawat di Hospital Besar Singapura (SGH). “Sekarang ini lagi menunggu kedatangan isteri dan anak-anak serta ahli keluarga yang lain datang ke sini untuk menyambut Aidilfitri bersama-sama dengan Abg Ramlee,” ujarnya.
Source: http://berita.mediacorp.sg