SDP Jufrie Mahmood Pertahan Sidek Mallek Kurang Fasih Dalam Bahasa Melayu

Parti Demokratik Singapura (SDP) hari ini memperkenalkan dua lagi calon untuk Pilihan Raya Umum pada 11 September ini.

Mereka ialah Encik Sidek Mallek, juruaudit berusia 55 tahun yang juga calon Melayu pertama yang diperkenal SDP bagi pilihan raya kali ini; dan Encik John Tan, 54 tahun, pakar psikologi sosial.

Sidek Mallek. (Gambar: Channel NewsAsia)

Encik Sidek, bapa kepada empat orang anak, merupakan mantan pegawai perkhidmatan awam yang kini bekerja sebagai juruaudit di sebuah syarikat keselamatan.

Menyentuh tentang skim CPF, beliau berkata: “Saya perlu mencecah usia 67 tahun sebelum saya dapat keluarkan wang saya, yang sebelum ini tidak boleh dikeluarkan, dan ini tidak adil bagi saya, kerana saya boleh menguruskannya sendiri.”

Encik Sidek juga menyentuh tentang tekanan yang dihadapi kedua-dua anaknya yang kini di sekolah menengah. “Mereka perlu sentiasa mengikuti kelas tuisyen, terus di sekolah selepas kelas berakhir untuk kelas tambahan, perlu menyiapkan kerja rumah – apakah pendapat pemerintah tentang hal ini? Anak-anak kita perlu menikmati masa-masa muda mereka,” katanya.

Apabila ditanya apakah yang boleh dilakukan beliau bagi masyarakat Melayu/Islam sebagai Anggota Parlimen Melayu, Encik Sidek bertanya sama ada beliau boleh dikecualikan dari menjawab soalan itu.

Soalan tersebut sebaliknya dijawab oleh anggota jawatankuasa eksekutif pusat SDP, Jufrie Mahmood, yang berkata parti itu akan memutuskan (set out) apakah isu-isu masyarakat Melayu yang akan diperjuangkan Encik Sidek dan seorang lagi bakal calon Melayu SDP, yang belum didedahkan.

Encik Jufrie kemudian menambah: ” Orang sekarang tidak banyak bercakap Melayu. Beliau seorang Melayu, jadi beliau bercakap Melayu. Namun untuk bercakap dalam keadaan seperti itu, beliau mungkin tidak dapat menjawabnya dengan sebaik mungkin… jangan salahkan beliau. Jika beliau dilantik, berikannya beberapa bulan, beliau akan dapat berbuat demikian.”

PRIHATIN JURANG PENDAPATAN KIAN MELUAS

Encik Tan, 54 tahun, bapa tiga anak, seorang pensyarah dalam bidang psikologi dan statistik di Universiti Murdoch di Kaplan Singapore. Beliau menyertai SDP pada 2011 dan merupakan naib pengerusi SDP.

Kata beliau: “Saya rasa sudah tiba masanya bagi SDP untuk diberi perhatian, oleh kerana dasar-dasar alternatifnya, dan saya di sini untuk membantu dalam hal itu.”

Keprihatinan utama Encik Tan ialah jurang pendapatan yang kian meluas. Beliau berkata beliau berasal dari keluarga miskin, dan meskipun beliau melihat sendiri “kampung kecil” ini menjadi antara bandar terbaik di dunia, masih ada golongan berpendapatan rendah yang sukar menyara hidup mereka sendiri.

Sebagai seorang pendidk, beliau juga prihatin tentang dasar-dasar pendidikan seperti menetapkan aliran pendidikan pada usia yang muda.

Encik Tan berkata “desakan pendidikan yang keterlaluan”Cmenghapuskan keghairahan para murid untuk terus belajar, dan peperiksaan utama seperti PSLE sepatutnya dimansuhkan.

“Saya rasa itu semua memberikan terlalu banyak tekanan yang tidak diperlukan ke atas kanak-kanak. Mereka perlu diberikan pilihan apakah subjek-subjek yang ingin mereka pelajari di sekolah.

“Nampaknya sistem pendidikan kita dibangunkan untuk melatih para individu berdasarkan pasaran pekerjaan. Saya rasa kita perlu melihat setiap individu sebagai insan yang kreatif,” tambahnya.

Ketua parti, Chee Soon Juan, sebelum ini berkata SDP akan menampilkan 11 calon bagi pilihan raya kali ini.

Sejauh ini, parti itu sudah memperkenalkan empat calon sejak dua hari lalu – Cik Chong Wai Fung, Encik Gerous Khung Wai Yeen, Dr Paul Ananth Tambyah dan Cik Jaslyn Go. Namun SDP enggan mendedahkan di kawasan undi mana mereka akan bertanding.

SDP menyatakan ia akan bertanding di GRC Holland-Bukit Timah dan Marsiling-Yew Tee, serta di SMC Bukit Batok, Bukit Panjang dan Yuhua.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *