Calon SingFirst Party, Chirag Desai, Pernah Terlibat Dalam Kes Curi

Calon Parti Warga Diutamakan (SingFirst), Encik Chirag Desai (gambar) yang bertanding di GRC Tanjong Pagar dikatakan pernah mencuri wain di sebuah hotel mewah, menurut laporan sebuah laman sosial.

Laman Rilek1Corner melaporkan pengalaman seorang penulis mendakwa bahawa Encik Desai melakukan perbuatan itu pada 2008.

Penulis yang memberikan namanya sebagai Ismail Abdul Razak menyatakan bahawa apabila ‘tengok’ rapat umum, beliau pasti Encik Desai, adalah orang yang beliau kenal dan pernah terlibat dalam kes itu pada 2008 di Hotel Shangri-La.

Penulis itu bekerja di situ waktu itu.

Beliau turut mengirim emel mengenai perkara itu kepada Berita Harian semalam.

“Sekarang ni dia jadi calon kat kawasan undi aku, aku terfikir juga ada dia jujur. Memanglah semua orang buat kesalahan, tapi lebih baik kalau dia terus terang dengan kita kalau dia seorang pencuri.

“Semua calon harus jujur dan punya integriti. Tak salah buat kesilapan. Asalkan tak ulang kesilapan yang sama, orang akan percaya kau,” tulis beliau.

Ketika dihubungi, ketua parti SingFirst, Encik Tan Jee Say, berkata:

“Ini cerita lama dan isu ini tidak harus menjejas kempen di mana Chirag bertanding sebagai warga profesional dan komited mahu berkhidmat kepada pengundi.”

Seorang lagi Calon SingFirst, Encik Fahmi Rais, ketika menjawab pertanyaan Berita Harian, tidak memberikan komen mengenai dakwaan itu tetapi menyatakan bahawa beliau berharap kisah-kisah masa silam tidak dijadikan isu.

Encik Desai tidak dapat dihubungi sehingga akhbar ini dicetak.

SingFirst menampilkan barisan calon ketua parti – Encik Tan; Dr Ang Yong Guan, Encik Melvyn Chiu, Encik Desai, dan Encik Fahmi.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *