Rancangan Calon NSP Nor Lella Mardiiiah Jika Jadi AP

Calon Parti Perpaduan Nasional (NSP), Cik Nor Lella Mardiiiah Mohamed, berkata jika dipilih sebagai Anggota Parlimen (AP), beliau akan memperuntukkan separuh daripada elaun AP-nya untuk dana pendidikan anak Melayu di Tampines.

Malah beliau hanya akan menggunakan $2,000 daripada elaun itu bagi kegunaan peribadinya.

Baki daripada elaun itu juga akan disalurkan kepada kegiatan amal atau mana-mana badan amal untuk dimanfaatkan penduduk.

Cik Nor Lella, yang bertanding di GRC Tampines dan merupakan konsultan niaga, berkata:

“Wang dana ini akan digunakan oleh anak-anak muda Melayu mendapatkan pendidikan terbaik. Misalnya anak prasekolah mungkin boleh memasuki sekolah montessori terbaik bagi masa depan mereka.

“Dana ini adalah untuk penduduk Tampines kerana saya berasa begitu dekat di hati penduduk di Tampines.”

Menurutnya, beliau merancang berbuat demikian untuk mengikut langkah Setiausaha Agung NSP, Encik Lim Tean, yang berikrar memberikan sepenuhnya elaun AP-nya kepada dana pendidikan Melayu.

Menyentuh tentang pengalamannya berkempen, Cik Nor Lella turut memberitahu bahawa beliau telah membuat laporan polis setelah dikaitkan dengan satu pertengkaran di Restoran Al-Azhar di Tampines pada sebelah malam selepas berkempen pada 2 September lalu.

“Ada yang mengatakan saya bertengkar dengan bekas suami saya di restoran itu. Apa yang sebenarnya berlaku ialah saya menenteramkan keadaan apabila relawan NSP didatangi seseorang sehingga berlaku pertengkaran.

“Saya tak mahu ini menjadi bahan fitnah terhadap diri saya,” ujarnya.

Beliau turut memuat naik pengalamannya itu di laman Facebooknya malam tadi.

Cik Nor Lella, Encik Lim, Encik Sebastian Teo, Encik Reno Fong dan Encik Choong Hon Heng dari NSP bertanding di GRC Tampines.

Mereka menentang pasukan PAP terdiri daripada Encik Heng Swee Keat, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, Encik Baey Yam Keng, Encik Desmond Choo dan Cik Cheng Li Hui.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *