Seorang lagi calon pembangkang, Encik Fahmi Rais dari Parti Warga Diutamakan (SingFirst), menyentuh isu tudung dalam rapat pilihan raya malam ini.
Encik Fahmi berkata tidak seharusnya menjadi masalah untuk membenarkan wanita Islam dalam perkhidmatan beruniform supaya bertudung, seperti yang dilakukan di sesetengah negara maju.
Cik Nor Lella Mardiiiah Mohd dari Parti Perpaduan Nasional (NSP), turut mempersoalkan isu yang sama malam ini. Kelmarin, calon Parti Demokratik Singapura (SDP), Damanhuri Abas, juga berucap secara panjang lebar tentang isu pemakaian tudung dalam rapat pilihan raya parti itu.
Selain isu tudung, Encik Fahmi, yang bertanding di GRC Tanjong Pagar, juga menyentuh kesulitan yang dihadapi oleh rakyat Singapura untuk mendapatkan pekerjaan kerana persaingan daripada warga asing.
“Sekarang kita nak cari kerja bukan senang. Ada kelulusan pun belum tentu dapat kerja. Anak kita, kita tanggung dari sekolah rendah, menengah sampai universiti.
“Pemerintah beri $400 juta kepada penduduk asing untuk anak mereka datang belajar di sini. Mana pergi masa depan kita?
“Kalau kita hilang pekerjaan kerana kita bersaing dengan bangsa sendiri di Singapura, saya boleh terima. Kita hilang pekerjaan, bersaing dengan PR (Penduduk Tetap), saya rasa kita masih boleh terima.
“Tapi kita hilang pekerjaan, bersaing dengan warga asing yang datang ke sini hanya untuk meraup keuntungan, itu saya tidak boleh terima. Anda boleh terima ke?” kata Encik Fahmi.
Source: http://berita.mediacorp.sg