Isu-isu Melayu/Islam terus menjadi tumpuan kempen para calon pembangkang Melayu sepanjang pilihan raya ini.
Tanpa menyentuh mana-mana isu tertentu, calon baru PAP, Encik Amrin Amin berkata, para anggota partinya prihatin dan akan terus berusaha untuk mencari huraiannya.
Namun katanya, ia perlu dilakukan secara bersama dan dengan pemahaman bahawa Singapura adalah sebuah negara berbilang kaum di mana keperluan kaum minoriti juga perlu dijaga.
Maka itu, beliau menyarankan agar pendekatan lebih luas diambil dalam hal ini, dengan tumpuan juga diberikan kepada gambaran lebih besar serta teras Singapura yang perlu dipelihara.
Encik Amrin ditemui semasa sesi kunjungan menemui penduduk di Woodlands Avenue 6, pagi tadi.
Lawatan-lawatan seperti ini sudah menjadi satu rutin biasa bagi Encik Amrin Amin sepasukan, sejak Hari Penamaan Calon Selasa lalu.
Diketuai Menteri Pembangunan Negara, Encik Khaw Boon Wan, pasukan lima anggota ini kelihatan bertenaga, meskipun bermula seawal 8 pagi tadi.
Menurut Encik Amrin, sambutan yang diterimanya setakat ini amat memberangsangkan.
“Saya telah berjumpa dengan ramai penduduk di kedai kopi, di kedai kopi dan pasar-pasar. Saya gembira dapat bertemu dengan ramai penduduk dan mereka memberi saya sokongan serta doa semoga dapat melaksanakan amanah masyarakat ini sebaik mungkin,” kata Encik Amrin.
Walaupun setakat ini belum lagi ada isu-isu besar yang diutarakan penduduk, Encik Amrin akui masih terdapat lagi ruang yang perlu diperbaiki.
Beliau berkata kesempurnaan mungkin tidak boleh dicapai.
Namun beliau yakin pasukannya mempunyai rancangan yang baik untuk meningkatkan lagi mutu kehidupan para penduduk di sini.
Sebagai calon kali pertama, peguam 35 tahun ini juga, berkata beliau banyak belajar daripada para aktivis serta para calon yang lain.
Kerja keras, ketabahan serta kekuatan mereka dijadikan inspirasi bagi membulatkan lagi tekadnya untuk menyumbang kepada masyarakat.
Source: http://berita.mediacorp.sg