Jemaah dari seluruh dunia seramai 1.37 juta – bersama 600,000 jemaah Arab Saudi – berwukuf di Arafah hari ini, 9 Zulhijah, bagi menunaikan rukun haji.
Pemandangan lautan manusia yang berhimpit di Padang Arafah dengan berpakaian ihram serba putih begitu syahdu.
Wukuf adalah rukun haji yang yang difardukan ke atas jemaah, sejajar dengan sabda Rasulullah saw bahawa “Haji itu Arafah”.
Lantaran itu, semua jemaah tidak kira lelaki dan wanita, tua dan muda, yang sihat dan sakit, perlu berwukuf pada 9 Zulhijah di Padang Arafah yang terletak 21.6 kilometer dari Masjidil Haram.
Mereka termasuk 56 jemaah yang masih dirawat di beberapa hospital kerana cedera dalam kejadian kren runtuh dekat kawasan sai di Masjidil Haram pada 11 September.
Mereka dibawa dengan kenderaan khas ke Hospital Jabal Al-Rahmah dan Hospital Besar Arafat untuk berwukuf.
Dalam kalangan dua juta jemaah haji yang berwukuf itu termasuk 680 jemaah dari Singapura.
Menurut pegawai bertugas, lebih 40,000 bas dan pelbagai kenderaan lain digunakan untuk mengangkut jemaah antara Makkah, Arafah dengan Mina bagi perhimpunan antarabangsa setiap tahun itu.
Dalam perjalanan, jemaah melaungkan “Labbaiikallahhumma labbaik…” hingga akhir yang antara lain bermaksud “Kami datang menyahut seruan-Mu, ya Allah”.
Semasa di Arafah, jemaah ditempatkan dalam khemah.
Mereka mendengar khutbah Arafah di kawasan masing-masing, mendirikan solat jamak takdim zuhur dan asar serta berzikir.
Selepas asar, jemaah biasanya keluar dari khemah dan memohon keampunan dan memanjatkan pelbagai doa.
Keadaan lebih sesak dijangka di Jabal Rahmah, tempat Rasulullah dilaporkan menyampaikan khutbah terakhir beberapa bulan sebelum Baginda wafat.
Selepas maghrib, jemaah meninggalkan Arafah, bermalam di Muzdalifah dan kemudian ke Mina, yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Arafah, bagi melontar jamrah aqabah pada 10 Zulhijah dan menyembelih korban.
Pada hari yang sama (10 Zulhijah), umat Islam di serata dunia menyambut Hari Raya Aidiladha, yang dikenali juga sebagai Hari Raya Korban.
Jemaah haji pula terus mabit (berkumpul) di Mina beberapa hari bagi meneruskan ibadah melontar jamrah.
Mereka juga melakukan tawaf dan sai haji serta bertahalul (bergunting atau cukur rambut) bagi menyempurnakan ibadah haji.
Selesai pelaksanaan ibadah haji, jemaah beredar.
Sebahagian mula pulang ke tanah air, sebahagian pula terus beramal ibadah di Makkah manakala sebahagian lagi pergi ke Madinah supaya dapat beribadah di Masjid Nabawi dan menziarahi makam Nabi.
Source: http://beritaharian.sg