Rugi Lebih $6000 Kereta Dipecah Masuk Di JB

Bersarapan sambil membeli makanan ketika singgah sebentar di Pasar Tani, Larkin, Johor Bahru, pada Sabtu lalu begitu tinggi harganya bagi Hajah Rokiah Bustami dan suaminya, Haji Mohamad Mohd Amin.

Ibarat mimpi di siang hari, Hajah Rokiah, 60 tahun, tauke Restoran D’Pelangi di Kelab Masyarakat Tampines North, terperanjat apabila mendapati kereta yang suaminya letakkan di bahu jalan raya utama berhadapan pasar tersebut dipecah masuk.

Sudahlah cermin tingkap tengah sebelah kiri kereta Toyota Voxy mereka hancur berderai, beg ibu Hajah Rokiah, Hajah Zaharah Abdullah, 78 tahun, yang berisi $4,800 serta sepasang subang dan cincin berlian bernilai hampir $2,000 lesap.

Namun, mereka lega kerana banyak lagi barang berharga yang ditinggalkan dalam kereta tidak dilarikan pencuri.

Ini termasuk iPad di atas ‘dashbod’, telefon bimbit dalam laci dan tas tangan berisi RM6,000 ($1,977), $1,000 dan tujuh pasport milik pasangan tersebut, Hajah Zaharah, tiga adik-beradik Hajah Rokiah dan pembantu rumah warga Indonesia.

Menyingkap kejadian itu, Haji Mohamad, 68 tahun, menyatakan mereka singgah di pasar tersebut sekitar 7.30 pagi untuk sarapan sebelum meneruskan perjalanan bercuti ke Port Dickson.

“Ada 20 kereta yang diletakkan di bahu jalan raya tersebut. Selepas duduk sebentar dalam kereta, saya kemudian pergi mencari isteri dan keluarganya untuk sama-sama sarapan.

“Saya seorang kembali ke kereta dan yang lain pergi membeli-belah. Sampai ke kereta, seorang lelaki tua menunjukkan tangannya ke arah cermin tengah kereta saya yang telah pecah.

“Ketika itu, saya tak tahu apa barang yang hilang sehinggalah isteri dan ibu mentua saya datang. Ibu mentua saya kata begnya yang diletakan di tempat duduk tengah dah hilang,” cerita Haji Mohamad ketika ditemui di rumah mereka di Jalan Singa semalam.

Dalam keadaan kelam-kabut itu, Hajah Rokiah segera memeriksa barang lain yang ditinggalkan dalam kereta itu.

“Saya bersyukur kerana nasib baik iPad dan telefon bimbit yang menjadi nyawa perniagaan saya tak hilang. Segala maklumat dan kontak bisnes ada di dalamnya.

“Alhamdulillah juga pencuri tak larikan tas tangan saya kerana dalamnya ada tujuh pasport. Kalau hilang bingit dibuatnya. Allah punya kuasa tak nampakkan tas tangan saya kepada si pencuri,” tambahnya.

Ibu empat anak itu bersyukur kerana keretanya yang berharga $180,000 itu tidak dilarikan pencuri.

Namun, beliau terpaksa menunggu tiga minggu bagi mendapatkan cermin tingkap pengganti dari Jepun.

Selepas membuat laporan di Balai Polis Larkin, mereka meneruskan perjalanan dengan hati lara ke Port Dickson.

“Pegawai penyiasat polis menyatakan kepada kami mereka syak pencuri mungkin menggunakan bahan kimia bagi pecahkan cermin kereta saya. Ini kerana cermin kereta saya pecah berderai halus keadaannya.

“Pegawai berkenaan juga menasihatkan kami agar jangan tinggalkan beg plastik sekalipun dalam kereta kerana ia menarik perhatian pencuri,” kata Hajah Rokiah.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *