Pelajar Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah Beri Bantuan Kemanusiaan Pada Pelarian Syria Di Turki

Keinginan untuk menyebar ihsan membawa sekumpulan pelajar madrasah jauh ke Istanbul, Turki.

Mereka ke sana demi melaksanakan satu usaha kemanusiaan – menghulurkan bantuan dan juga tangan persahabatan kepada para pelarian Syria di negara itu.

Dianggarkan seramai 2.2 juta pelarian Syria masih berlindung di Turki akibat kemelut politik Syria yang berlarutan sejak 2011.

Bagi Mashita Abu Bakar, 15 tahun, pendedahannya kepada krisis kemanusiaan itu terhad kepada apa yang ditonton atau dibacanya melalui media massa.

Namun pada November lalu, Mashita, bersama 22 pelajar lain dari Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah, berpeluang ke Turki bagi membantu para pelarian Syria menerusi Projek Salam 2015.

“Sebelum ke sana, saya berasa amat gelisah tetapi apabila saya sampai, mereka amat gembira kami ada. Walaupun kami berada di sana untuk masa yang singkat sahaja, tapi mereka menghargai sangat. Mereka kata, ” Kita adalah saudara dan kami sayang sangat dengan kamu.” Jadi saya tersentuh,” jelasnya.

Semasa lawatan selama seminggu itu, rombongan pelajar tersebut dibawa ke dua buah sekolah di mana kesemua pelajarnya merupakan pelarian Syria.

Selain menghiburkan mereka dengan persembahan skit dan kompang, para pelajar madrasah ini turut menghadiahkan buku-buku cerita kegemaran mereka serta alat-alat permainan untuk pembelajaran.

Sumbangan $10,000 juga dihulurkan, hasil kutipan derma di kalangan kenalan pelajar, sejak Januari tahun lalu.

“Kesungguhan mereka (para pelajar Syria) untuk belajar sangat menyentuh hati saya, walaupun keadaan mereka tidak bagus tapi mereka masih mahu belajar,” jelas Nurul Syafiqah Ibrahim, pelajar daripada Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah.

Menerusi kerjasama dengan agensi bantuan kemanusiaan Turki, Kimse Yok Mu, para pelajar ini turut menziarahi rumah-rumah pelarian bagi mengagihkan barang-barang keperluan musim sejuk.

“Misi Projek Salam ini ialah untuk memberi peluang kepada para pelajar kami melihat sendiri dan memahami cabaran yang dialami para pelarian Syria, terutamanya, kanak-kanak dan juga remaja.

“Madrasah mengharapkan yang pelajar-pelajar kami dapat dibimbing menerusi misi ini untuk menjadi insan yang bertaqwa dan juga pemimpin yang berakhlak dan berilmu,” jelas guru yang menyelaras Projek Salam 2015, Azzar Ruah.

Projek Salam dijayakan dengan sokongan geran bernilai $40,000 daripada Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).

Sejak 2010, RLAF mengagihkan lebih $500,000 bagi menyokong 26 projek kemanusiaan.

Dengan sokongan itu, ia diharap para belia tempatan dapat terus melakukan kerja-kerja kebajikan, tidak kira di dalam mahupun di luar negara.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *