Majlis Bahasa Melayu Singapura Gunakan Teras 4M, Mantapkan Penggunaan Bahasa Melayu

Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) akan terus melanjutkan usaha untuk memantapkan lagi penggunaan Bahasa Melayu di negara ini melalui teras 4M – Memangkin, Menghubung, Memperkukuh dan Memperdalam.

Demikian ditekankan Pengerusi barunya, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim yang juga Setiausaha Parlimen Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga dalam sidang media MBMS, petang tadi (24 Feb).

Tahun ini, ketua-ketua baru juga dilantik bagi tiga jawatankuasa kecil MBMS.

Jumlah penyertaan dalam pelbagai kegiatan Bahasa Melayu saban tahun, semakin menggalakkan. Lanjutan daripada usaha-usaha sedia ada, MBMS mahu meluaskan lagi pendekatannya menerusi empat teras, iaitu:

EMPAT TERAS

1) ‘Memangkinkan’ kegiatan-kegiatan bahasa, sastera dan budaya dengan kerjasama badan-badan Melayu, agensi-agensi pemerintah, institusi dan individu

2) ‘Menghubungkan’ orang ramai dengan kegiatan Bahasa Melayu melalui pelbagai wadah termasuk media sosial

3) ‘Memperkukuh’ usaha untuk mengenal pasti aktivitis muda yang berpotensi menjadi pelapis bahasa, sastera dan budaya Melayu,

4) Menyediakan wadah untuk orang ramai ‘Memperdalam’ minat terhadap bahasa, sastera dan budaya Melayu.

Dr Faishal berkata: “Saya melihat MBMS sebagai penghubung di mana dengan adanya landasan ini, kita boleh menjadi penghubung untuk memberikan maklumat dari platform Facebook, Instagram dan lelaman MBMS.

“Kami juga akan meningkatkan tahap dan mengemaskini lelaman MBMS supaya ia mesra dengan pengguna telefon bimbit. Ini dijadualkan siap pada Julai tahun ini.”

JAWATANKUASA KECIL MBMS

Duta Bahasa 2010, Cik Rahayu Mahzam yang juga Anggota Parlimen GRC Jurong, adalah di kalangan tiga orang yang dilantik untuk menerajui tiga jawatankuasa kecil.

Cik Rahayu, Ketua Jawatankuasa Masyarakat dan Bulan Bahasa, berkata: “Kita gunakan Bulan Bahasa sebagai satu wahana untuk melibatkan segenap masyarakat pengguna Bahasa Melayu.

“Jadi, ini harus dipertingkatkan dalam konteks kehidupan masa kini kerana masyarakat sering berubah. Ada beberapa inovasi dan teknologi yang berubah. Ini bermakna mungkin kosa kata kita perlu berubah, perlu ditambah.”

GALAK KREATIVITI, PERKEMBANGAN BAHASA

Selain untuk menyuntik kesegaran kepada Bulan Bahasa tahun ini, tiga jawatankuasa kecil MBMS juga akan memberi tumpuan kepada penggalakkan kreativiti dan perkembangan bahasa, meningkatkan mutu program dan bersifat lebih inklusif agar keindahan bahasa dapat lebih dihargai.

Antara kegiatan baru yang akan dianjurkan termasuk Bengkel Kritikan Sastera dan Bengkel Rentas Media.

Dua lagi ketua jawatankuasa kecil ialah Profesor Madya Dr Hadijah Rahmat dan Pengetua Sekolah Menengah Balestier Hill, Encik Abdul Harris Sumardi.

Sesi taklimat Bulan Bahasa akan diadakan pada Jumaat ini.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *