8 Fakta Dan Mitos Mengenai Durian

Musim durian dijangka kembali sekali lagi ke Singapura tidak lama lagi.

Dengan jenis seperti Musang King atau Mao Shan Wang terus menjadi buruan, kami bawa anda melihat sekilas fakta dan mitos berhubung raja buah itu, seperti ditukil dari laman healthxchange.com.sg.

FAKTA TENTANG DURIAN

1) Durian kaya dengan zat

Ini tentunya khabar gembira bagi anda yang gemar makan durian. Durian kaya dengan kalium, serabut diet, zat besi, vitamin C dan vitamin B kompleks.

Buah yang juga dikenali sebagai raja buah itu sangat baik untuk meningkatkan kekuatan otot dan tekanan darah.

Bukan itu sahaja, durian juga baik untuk melancarkan buang air besar dan kesihatan kulit. Ia juga mendukung sistem saraf, meningkatkan kekebalan tubuh dan meningkatkan penghasilan sel darah merah.

2) Durian boleh menyebabkan berat badan anda naik

Ini adalah salah satu fakta pahit yang perlu anda terima, terutama bagi penggemar durian. Secara purata, durian seberat 1 kilogram mengandungi hampir 1,350 kalori. Memakan satu durian sahaja bermakna anda sudah mengambil 68 peratus daripada 2,000 kalori yang disarankan setiap hari bagi seorang dewasa. Bahkan, seulas durian (sekitar 40 gram) mempunyai 54 kalori.

3) Pesakit kencing manis perlu kurangkan pemakanan durian

Boleh dikatakan, buah durian tidak begitu sesuai untuk pesakit kencing manis. Ini kerana durian mempunyai kandungan gula yang tinggi. Ia mengandung gula sederhana seperti sukrosa, fruktosa, dan glukosa.

4) Durian berikan tenaga serta-merta

Oleh kerana kandungan karbohidrat yang tinggi, durian boleh membantu untuk meningkatkan tahap tenaga yang rendah dengan pantas di kalangan individu sihat. Kandungan kalium yang tinggi dalam durian juga membantu mengurangkan kelelahan, sekaligus menghilangkan tekanan dan rasa cemas

MITOS TENTANG DURIAN

1) Durian kaya dengan kolestrol

Ramai yang menyangka durian mengandungi kolesterol. Namun hakikatnya, buah ini memiliki kandungan lemak monotaktepu yang baik untuk jantung. Selain itu, durian boleh membantu mengurangkan kadar kolestrol LDL yang tidak baik untuk anda.

2) Manggis perlu dimakan bersama durian untuk kurangkan panas badan

Menurut tradisi orang Cina, oleh kerana manggis buah pendingin, ia dapat mengurangkan kesan “kehangatan” durian. Namun, tiada kajian saintifik yang membuktikan hal ini.

3) Makan durian dan minum arak pada masa yang sama boleh membawa kematian

Sekali lagi, tiada bukti saintifik yang menunjukkan kombinasi ini dapat membawa maut. Makan durian dan minum arak mungkin hanya menyebabkan perut kembung, gangguan pencernaan dan rasa tidak selesa pada hati.

Ini kerana hati harus bekerja lebih keras untuk memetabolismekan kedua-dua lemak dan gula dalam durian dan arak, terutama jika ia diambil secara berlebihan.

4) Makan durian boleh meningkatkan libido atau nafsu berahi

Fakta ini mungkin sedikit mengecewakan. Buah durian boleh menyebabkan suhu badan meningkat, namun ini tidaklah menjadikan buah itu satu afrodisiak.

Kesimpulannya, menurut laman healthxchange, para pakar pemakanan memberi pesanan bahawa durian itu buah yang kaya dengan zat.

Jika dimakan secara sederhana, ia boleh membekalkan tubuh dengan mineral, vitamin dan lemak yang baik untuk kesihatan.

Menurut healthxchange, sudah cukup untuk makan dua hingga tiga ulas durian sekaligus. Sayangnya, ramai yang sukar mengawal diri sehingga makan durian melebihi yang sepatutnya.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *