#HHWT: Aplikasi Bantu Cari Makanan Halal

Semasa mereka belajar di Korea Selatan, tiga sekawan – Cik Elaine Tee, Tengku Suzana Tengku Abdul Kadir dan Encik Melvin Goh – mengalami kesukaran mencari makanan halal agar dapat dinikmati bersama.

Justeru, setiap kali mereka bertemu restoran halal, tiga sekawan itu akan menulis artikel dan memuatnaikkannya ke laman blog Have Halal, Will Travel (HHWT).

Blog yang disebarkan melalui Facebook itu mendapat sambutan hangat sehingga dibaca dan dikongsi lebih setengah juta kali.

Ini mendorong Encik Goh, yang juga ketua pegawai eksekutif #HHWT, mencipta aplikasi memudahkan pengguna mencari makanan halal di Korea Selatan.

Aplikasi itu menyenaraikan bukan saja restoran halal, malah tempat ‘mesra Muslim’ serta ruang solat.

Encik Goh, 27 tahun, yang baru sahaja memeluk agama Islam Ahad lalu, berharap aplikasi itu akan menyemarakkan semangat menjelajah dalam kalangan warga Muslim.

“Saya difahamkan kebanyakan masyarakat Muslim selalunya menundakan niat merantau kerana kesukaran mencari makanan halal.

“Kami mahu membantu menangani masalah ini kerana Islam sendiri mendo- rong umatnya merantau dan melihat keindahan ciptaan Tuhan.

“Jadi, dengan aplikasi ini, saya harap isu makanan tidak lagi akan menjadi satu halangan untuk merantau ke luar negara,” ujarnya, yang akan bernikah dengan temannya, Tengku Suzana, 26 tahun, pada tahun depan.

Bagi Cik Tee, 26 tahun, juga pengasas bersama #HHWT, beliau kini tahu bahawa mendapatkan makanan halal bukan sekadar makanan yang disajikan tanpa kandungan babi tetapi lebih daripada itu.

Selain Korea Selatan, aplikasi itu juga akan menyenaraikan restoran makanan halal di Jepun dan London.

 

Source: www.beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *