Allahyarham Nasrulhudin Najumudin baru sahaja mendapat pekerjaan dengan pengendali pengangkutan SMRT pada bulan Januari lalu dan ghairah meneruskan masa depannya.
Demikian menurut seorang sepupu beliau, kepada Mediacorp.
Namun kurang tiga bulan kemudian, Nasrulhudin yang berusia 26 tahun dilanggar kereta api sewaktu menjalani latihan semasa bekerja.
‘Nasrul seorang yang periang, kami sering tertawa apabila berada bersamanya…beliau penyeri setiap majlis,” kata sepupunya Cik Amalina Radwan hari ini (22 Mac).
“Saya membesar bersama beliau. Kami belajar di sekolah rendah yang sama dan di dalam darjah yang sama,” tambah Cik Amalina.
“Kami amat bersedih kerana kami begitu gembira untuk beliau apabila beliau mendapat pekerjaan baru. Saya pasti beliau akan dirindui,” ujar Cik Amalina penuh sebak.
Kemalangan itu turut meragut nyawa rakan sekerjanya Muhammad Asyraf Ahmad Buhari, 24 tahun.
Allahyarham, Muhammad Asyraf pula merupakan salah seorang anggota kumpulan qasidah Al khidmah.
Menurut laman Facebook Sout Ilaahi, Muhammad Asyraf adalah seorang yang baik dan kedua ibu bapanya yang berada di Makkah bagi menunaikan ibadah umrah sedang dalam perjalanan pulang ke Singapura.
KAMI HARAP IA BUKAN SEPUPU KAMI
Seorang lagi sepupu Nasrul, Encik Ridzwan Hakim menceritakan saat beliau mendapat tahu tentang tragedi yang menimpa sepupunya.
“Setelah bersarapan, kami terima panggilan telefon tentang saudara kami yang sudah meninggal dunia. Kami berasa amat sedih,” jelas Encik Ridzwan.
“Apabila kami terima berita itu, mereka belum pasti nama mangsa. Apa yang kami tahu adalah dua kakitangan sudah meninggal dunia. Kami hanya mampu berharap agar ia bukan sepupu kami,” tambah beliau.
BAPA DAN ABANG MANGSA, JUGA KAKITANGAN SMRT
Abang sulung Nasrul, Encik Nasrifudin memberitahu Mediacorp bahawa berita itu pada awalnya disampaikan kepada bapanya dan seorang lagi adiknya, yang kedua-duanya juga merupakan kakitangan SMRT.
“Terdapat berita di kalangan kakitangan SMRT, Bapa dan seorang lagi adik saya, sebagai pekerja, mendapat tahu tentang insiden itu sewaktu mereka berada di tempat kerja. Mereka kemudian memberitahu kepada kami dan kami begitu terkejut,” jelas Encik Nasrifudin.
Menurut beliau, jenazah adiknya akan dibawa pulang pagi esok (23 Mac) dan akan diuruskan di masjid berdekatan sebelum dikebumikan.
KOMEN DARI CEO SMRT
Menurut SMRT, kedua-dua mangsa adalah sebahagian daripada pasukan teknikal yang berada di laluan bersebelahan landasan kereta api untuk menyiasat amaran kecemasan alat penghantar isyarat.
Kebenaran diluluskan bagi mereka memasuki landasan, menurut Pengarah Urusan SMRT Lee Ling Wee di satu sidang media yang diadakan hari ini (22 Mac).
Pengendali Pengangkutan itu juga menambah, seorang penyelia sedang berjalan di hadapan kedua-dua mangsa sebelum tragedi itu berlaku.
Bagaimana kemalangan itu boleh berlaku meskipun mereka mematuhi protokol?
Ini menurut CEO SMRT Desmond Quek akan disiasat.
Polis juga sedang menyiasat kemalangan itu.
Source: http://berita.mediacorp.sg