Para AP Melayu Lahir Rasa Kecewa Atas Insiden 3 Pelajar Madrasah Dipukul, Ditendang

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim melahirkan rasa kecewa terhadap insiden serangan terhadap tiga pelajar madrasah semalam (1 Apr).

Dr Yaacob menegaskan, perkara itu tidak boleh diterima sama sekali dan pelakunya mesti dibawa ke muka pengadilan.

Beliau menambah, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sedang bekerja rapat dengan Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah untuk memberi bantuan dalam siasatan polis dan juga membantu para pelajar yang terjejas.

Ketiga-tiga pelajar Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah itu diserang oleh seorang lelaki di Stesen MRT Paya Lebar sekitar pukul 7.20 pagi semalam dan menurut sumber-sumber, suspek sudahpun diberkas.

DOAKAN AGAR PELAJAR TERJEJAS PULIH

Menulis di laman Facebooknya hari ini (2 Apr), Dr Yaacob berkata: “Kita tidak harus menerima apa jua bentuk tindakan agresif terhadap sesiapa pun, lebih-lebih lagi orang-orang yang tidak bersalah.”

Beliau yang juga Menteri Peruhubungan dan Penerangan bagaimanapun turut mengajak masyarakat supaya bertenang dan bersatu, serta jangan membiarkan insiden tersebut memecahbelahkan mereka.

Dr Yaacob menggesa masyarakat supaya berdoa agar para pelajar madrasah yang terjejas, pulih daripada insiden tersebut.

AP AMRIN AMIN: INSIDEN INI “PERKARA YANG SERIUS”

Awal daripada itu, Setiausaha Parlimen, Kementerian Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin juga melahirkan keprihatinannya berhubung insiden tersebut dan menyifatkannya sebagai satu “perkara yang serius”.

Beliau juga bimbang tentang keadaan para pelajar madrasah yang menjadi mangsa “pengalaman mengerikan” itu.

Encik Amrin merupakan AP Melayu pertama menyuarakan pandangannya mengenai insiden tersebut menerusi laman Facebook beliau, sekitar tengah malam semalam.

Beliau juga mengajak orang ramai supaya jangan tergesa-gesa membuat kesimpulan, memandangkan siasatan sedang dijalankan.

Bercakap kepada BERITAMediacorp hari ini, AP GRC Bishan-Toa Payoh Saktiandi Supaat berharap ini suatu insiden yang terpencil.

“Masyarakat Singapura adalah satu masyarakat berbilang budaya. Kita sama-sama boleh memupuk silaturahim di antara masyarakat di Singapura. Jadi saya rasa situasi ini bukan satu situasi yang secara merata. Ia adalah satu situasi terpencil,” ujar beliau semasa diminta ulasannya mengenai kejadian tersebut.

MUIS KELUARKAN KENYATAAN, LAHIR PRIHATIN

Dalam pada itu, MUIS turut mengeluarkan kenyataan media bagi mengulas kejadian tersebut.

Menurut MUIS, ia prihatinan tentang insiden serangan terhadap tiga pelajar madrasah semalam.

MUIS yakin polis sedang giat menjalankan siasatan dan masyarakat dinasihati agar bertenang bagi membolehkan keadilan dilaksanakan.

INSIDEN DAPAT PERHATIAN MENTERI MHA

Berita mengenai kejadian yang menimpa tiga pelajar Madrasah Al Maarif itu turut mendapat perhatian Menteri Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam.

Dalam tulisannya di Facebook lewat malam semalam, Encik Shanmugam yang juga merupakan Menteri Undang-Undang menyatakan beliau sudah meminta pihak polis supaya menyiasat insiden itu.

“Buat masa ini, motif di sebalik serangan ini masih belum jelas,” kata Encik Shanmugam.

Namun beliau memberi jaminan bahawa “kami akan menyiasat perkara ini dan memastikan keadilan ditegakkan.”

Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah semalam mengeluarkan kenyataan di laman Facebooknya berhubung insiden di mana tiga pelajarnya ditendang dan dipukul oleh seorang lelaki.

Ia menyatakan bahawa ketiga-tiga pelajar yang terjejas sudahpun diberikan kaunseling dan mengesahkan kejadian itu kini sedang disiasat.

Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang menghubungi pihak madrasah kerana prihatin dengan kesejahteraan para pelajarnya.

 

Source: Berita Mediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *