PBB: Kebanyakan Mangsa Pengganas Adalah Orang Islam

Sebahagian besar mangsa fahaman pelampau ganas adalah orang Islam, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon.

Beliau menambah bahawa objektif pihak pelampau ialah “supaya kita bermusuhan antara satu sama lain, dan perpaduan kita adalah tamparan paling hebat kepada strategi mereka itu”, lapor akhbar Asianlite.

Encik Ban berkata demikian di Persidangan Geneva tentang ‘Mencegah Fahaman Pelampau Ganas – Memandang ke Hadapan’, yang dihoskan secara bersama dengan pemerintah Switzerland dan PBB.

Beliau ditukil Asianlite sebagai menegaskan: “Marilah kita sama-sama menyedari hakikat bahawa kebanyakan mangsa di seluruh dunia adalah orang Islam.”

Kata Encik Ban, para anggota pelampau cuba memecahbelahkan masyarakat dan matlamat mereka ialah agar ketakutan dibiarkan bermaharajalela.

“Marilah kami jadikan persidangan ini, dan perpaduan kami hari ini, tamparan paling hebat kepada strategi mereka,” ujarnya seperti ditukil Asianlite.

Menurut laporan itu lagi, Encik Ban menekankan bahawa pelan bertindak yang dikemukakan beliau kepada Perhimpunan Agung PBB pada Januari lalu mengandungi saranan-saranan kukuh, dan boleh menjadi asas kepada kerjasama global bagi membanteras fahaman pelampau ganas.

Encik Ban mengakui bahawa setiap kali kita bercakap tentang fahaman pelampau, tidak boleh dielakkan bahawa kumpulan pengganas seperti ISIS atau Boko Haram akan menjadi sebutan.

Namun katanya, “fenomena fahaman pelampau ganas yang membawa kepada pengganasan tidak berakar atau terhad kepada sebarang agama, daerah, kerakyatan atau kumpulan etnik.”

Beliau menambah bahawa fahaman pelampau ganas jelas satu ancaman rentas sempadan yang memerlukan kerjasama antarabangsa serta-merta.

Encik Ban menjelaskan bahawa Pelan Bertindak untuk Mencegah Fahaman Pelampau Ganas yang dilakar beliau, mengemukakan pendekatan menyeluruh dan seimbang bagi tindakan bersama di peringkat global, serantau dan nasional.

Source: Berita Mediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *