Melindungi hak perwakilan minoriti dalam sistem Presiden Singapura Dipilih tanpa menggadaikan merit menjadi topik utama perbincangan awam pertama Suruhanjaya Perlembagaan.
Sesi hari ini adalah yang pertama dalam satu siri perbincangan yang bakal diadakan, di mana ia akan menyaksikan 19 individu serta kumpulan memberikan maklum balas tentang perubahan-perubahan yang disarankan kepada sistem Presiden Singapura Dipilih.
Suruhanjaya Perlembagaan sembilan anggota ini merupakan yang kedua sejak kemerdekaan Singapura, ditugaskan mengkaji aspek-aspek penting sistem Presiden Singapura Dipilih.
Salah satu aspek adalah melindungi perwakilan kaum minoriti.
Dalam membahaskannya, profesor undang-undang Eugene Tan berkata sistem tersebut tidak seharusnya menjuruskan para pengundi untuk mengundi kaum minoriti hanya kerana ia seharusnya begitu.
Tetapi ia patut meneliti siapa yang paling layak untuk jawatan tersebut.
Selain aspek merit, penyelidik kanan Matthew Matthews mencadangkan agar satu pilihan raya bagi calon minoriti diadakan jika Singapura tidak mempunyai Presiden dari kaum minoriti selama empat hingga lima penggal.
Satu lagi isu adalah berkenaan perubahan kepada kriteria kelayakan.
Namun Suruhanjaya melahirkan keprihatinan tentang melonggarkan kriteria tersebut kerana jawatan Presiden sepatutnya seorang yang berkaliber dan mampu menjalankan tugas Presiden dengan baik.
Encik Tan juga menyarankan agar perubahan pada sistem tersebut dilaksanakan pada 2023, tahun di mana pilihan raya presiden keenam dijangka akan diadakan, dan bukan semasa pilihan raya tahun depan.
Ini kata Encik Tan akan mengelakkan pilihan raya tersebut daripada tidak semena-menanya dikaitkan dengan politik.
Namun Profesor Chan Heng Chee berkata, jika begitu, saranan sedemikian hanya boleh dilaksanakan setengah dekad kemudian.
Dan menurutnya, ia “terlalu lama”.
Sesi perbincangan awam seterusnya akan diadakan Jumaat ini.
Source: http://berita.mediacorp.sg