MUIS: Ideologi ISIS Masih Terus Jadi Ancaman Serious

PENANGKAPAN terkini satu lagi kumpulan pekerja Bangladesh menunjukkan ISIS dan ideologi pengganas terus menimbulkan ancaman serius.

Demikian menurut satu kenyataan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), semalam.

Meskipun adanya penangkapan ini, Muis berkata pengalaman pihaknya dengan pekerja Bangladesh selalunya positif.

Ramai pekerja Bangladesh menyumbang masa dan tenaga sebagai relawan di masjid bersama-sama dengan relawan setempat yang lain.

“Misalnya semasa bulan Ramadan, mereka membantu menyiapkan makanan dan buka bersama para jemaah yang lain,” kata Muis.

Ia menambah bahawa masjid akan terus menyambut kedatangan Muslim daripada pelbagai latar belakang dan kerakyatan bagi program keagamaan dan kelas yang dijalankan guru agama bertauliah di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

Muis telah bekerjasama dengan Persatuan Bangladesh Singapura untuk meneroka lebih banyak inisiatif bagi menyokong pekerja Bangladesh dalam kehidupan sosio-agama mereka dan berintegrasi dengan masyarakat setempat.

Muis juga menekankan pentingnya masyarakat Muslim Singapura terus berwaspada dan tidak membenarkan sebarang ajaran yang menggalak keganasan dan ekstremis berlaku dalam masyarakat.

 

Source: www.beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *